Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia Bantuk Produk Usahawan

TASEK GELUGOR, 17 Sept – UDA Holdings Bhd (UDA) peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti serta perhotelan yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menganjurkan Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia dalam matlamatnya bagi membantu golongan peniaga terutama usahawan kecil memasarkan produk mereka.

Pengerusi UDA Datuk Norliza Abdul Rahim berkata penganjuran yang masuk ke lokasi kedua membabitkan zon utara di Tasek Gelugor, bermula semalam hingga esok dengan penyertaan hampir 200 usahawan dalam pelbagai bidang yang akan dibantu pihak UDA.

“Penganjuran karnival ini antara lain ialah UDA sebenarnya ingin membantu golongan usahawan terutama mereka yang baru mula berniaga dan usahawan kecil, kami ambil inisiatif untuk mengenal pasti dan seterusnya membantu dengan memberi khidmat nasihat serta bantu memasarkan produk mereka.

“Kami lihat usahawan-usahawan sekarang ini mempunyai kemahiran dan mempunyai kecekapan untuk mengeluarkan produk mereka namun kurang mahir dari segi pembungkusan serta pemasaran, di sini kami bersama beberapa agensi lain akan membantu mereka bagi penerangan.

“Usaha ini yang kami mahu terapkan di beberapa zon lagi melalui penganjuran karnival supaya dapat beri khidmat dan pada masa sama menyediakan platform kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka hingga ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penganjuran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia peringkat Pulau Pinang di Pusat Komersial Tasek Gelugor di sini hari ini.

Pada majlis itu, UDA turut menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM20,000 kepada empat usahawan asnaf tempatan dan menyerahkan khemah mudah alih kepada 80 peniaga Pasar Karat di Tasek Gelugor.

Norliza berkata penganjuran karnival yang pertama telah diadakan di Odean Walk, Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Ogos lepas, ia membabitkan seramai 200 usahawan dalam pelbagai bidang dengan nilai jualan mencecah RM2 juta.

Penganjuran di Tasek Gelugor ini antara lain juga bagi mempergiatkan keusahawanan dan sosio ekonomi tempatan serta selari dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan Keluarga Malaysia yang makmur dan sejahtera, selain itu, UDA juga berharap dapat mencapai sasaran jualan seperti penganjuran yang pertama.

“UDA sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan Keluarga Usahawan sentiasa berdaya saing dan berupaya untuk kelangsungan perniagaan terutamanya dalam persekitaran ekonomi negara yang kian pulih,” katanya.

Karnival yang berlangsung selama tiga bulan sehingga Oktober depan akan menjelajah ke lima lokasi di seluruh negara.

Lokasi pertama di Odeon Walk, seterusnya di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang (16-18 Sept), Serambi Teruntum Kuantan, Pahang (23-25 Sept), Angsana Ipoh Mall, Perak (30 Sept-2 Okt) dan Angsana Johor Bahru Mall, Johor (21-23 Okt).

UDA menyasarkan penyertaan 100 usahawan di setiap lokasi dengan mengetengahkan usahawan meliputi pelbagai kategori perniagaan seperti makanan dan minuman, perhiasan diri, fesyen serta tekstil, selain jenama terkemuka oleh usahawan selebriti.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.