Aplikasi ‘Talent Perak’ Mudahkan Pencari Kerja Dapat Peluang Pekerjaan

IPOH, 17 Sept – Kerajaan Perak menerusi Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) melancarkan aplikasi ‘Talent Perak’, sebuah platform kerjaya dalam talian bagi memudahkan pencari kerja mendapat peluang pekerjaan di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata aplikasi itu boleh dimuat turun menerusi Google Play Store mulai hari ini.

Beliau berkata pengguna boleh membuat carian jawatan kosong mengikut kategori demografik, industri, pengajian dan peringkat jawatan yang berdekatan dengan jarak lokasi pengguna.

“Talent Perak kini dalam peringkat versi Beta dan pihak Pasak akan mendapatkan input serta maklum balas daripada pengguna untuk memastikan aplikasi tersebut dapat diakses dengan lancar.

“Pembangunan aplikasi itu antara usaha berterusan oleh kerajaan negeri untuk memberi fokus kepada penyediaan peluang dan persiapan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri selain memastikan kebolehpasaran siswazah Perak sentiasa dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Anak Muda (KAMU) @ Karnival Lokein-O-Rama dan Majlis Pelancaran Aplikasi Talent Perak di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Saarani berkata kewujudan aplikasi itu merupakan satu daripada enam agenda utama Perak Sejahtera 2030 iaitu Pembuatan Keputusan Berpacukan Data.

Beliau berkata ia selari dengan komitmen kerajaan negeri yang sedang giat membuka kawasan industri baharu selain peningkatan permintaan daripada syarikat-syarikat multinasional untuk membuka atau meluaskan operasi mereka di negeri ini.

Terdahulu, pada majlis tersebut Saarani turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pasak, Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi melaksanakan program-program pembangunan belia di Perak.

IDR diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Maisarah Ahmad, Pasak diwakili Pengarahnya Mohd Misbahul Munir Masduki manakala Perkeso diwakili Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Azirruan Arifin.

Mengulas mengenai MoU itu, Saarani berkata ketiga-tiga pihak berkenaan akan bekerjasama dalam melaksanakan program berbentuk pembangunan kerjaya, latihan kemahiran serta penyelarasan data pekerjaan.

Beliau berkata maklumat berkenaan kemudian akan digunakan bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri menerusi ketersediaan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi di negeri ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.