Tinggalkan Budaya Selesa, Tangkis Isu Untuk Menang PRU15 – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 16 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa ahli-ahli parti khususnya jentera Barisan Nasional (BN) perlu meninggalkan budaya selesa sebagaimana yang ada dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sebaliknya bangkit bagi menangkis isu-isu yang diutarakan pihak lawan.

Beliau yang juga pengerusi BN berkata, keadaan-keadaan sebegini harus ditinggalkan demi melangkah ke hadapan bagi memastikan kemenangan pada PRU15.

“Sesungguhnya kita tidak mahu lagi bersikap seperti dahulu untuk berdiam dengan melihat isu yang dilemparkan itu dilambungkan dan kita tidak menangkisnya.

“Kita tidak boleh berasa selesa. Jumlah yang banyak tidak menjamin kemenangan walaupun dalam media sosial kerana yang penting adalah bagaimana tindakan yang perlu kita lakukan. Terlalu banyak isu yang mereka keluarkan, ditembak isu-isu itu. Adakah kita cukup kuat, adakah kita cukup fakta, adakah kita sedia untuk menangkis?

“Selama 62 tahun di bawah BN negara cukup stabil dan oleh kerana pengundi termakan racun fitnah, maka 22 bulan negara mengalami ‘kehancingan’, kemudian 17 bulan begitu juga dan selepas itu kita bukan kerajaan dominan. Kita tak mahu terus dihantui dengan mehnah dan fitnah seperti PRU14.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Ramah Mesra dan Pelancaran Jentera BN Parlimen bahagian terbabit yang diadakan di Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk, di sini hari ini.

Pelancaran tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN Perak, Datuk Azian Osman serta kepimpinan UMNO negeri dan bahagian pelbagai peringkat.

Ujar Ahmad Zahid, bagi mendepani PRU15 maka semangat ahli parti khususnya jentera parti perlu luar biasa.

“Kita berada dalam zon yang selesa pada PRU14 dan kali ini kita tidak mahu kalah, maka untuk mengelakkan perkara itu kita harus kuat.

“Semangat kita perlu luar biasa dengan solidariti harus diperkukuh dan jentera kita mesti dipertingkatkan. Hakikat yang berada di depan kita adakah kesiapsiagaan dan semangat ini cukup untuk kita mendepani PRU,” katanya lagi.

Tidak ketinggalan kepimpinan rakan kompenan BN iaitu Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan; Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah dan kepimpinan kompenan peringkat negeri Perak yang lain. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.