Serah Mandat Kepada Pimpinan Buat Keputusan, Ahli Terus Mantapkan Parti – Jalaluddin

JELEBU, 16 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias melihat soal kerjasama antara parti itu dengan Pas biarlah diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti setelah ianya dibincangkan dan ahli pelbagai peringkat perlu menyerahkan mandat sepenuhnya kepada pimpinan untuk membuat keputusan.

Katanya secara peribadi ahli UMNO sama ada pemimpin atau akar umbi perlu memberi mandat dan kepercayaan kepada MKT untuk mengkaji dan meneliti sebelum membuat keputusan akhir dalam soal kerjasama dengan Pas.

“Ia sama ada membabitkan kerjasama dalam bentuk persefahaman, kerjasama dalam bentuk gabungan atau tiada sebarang kerjasama.

“Justeru parti dan MKT belum membuat keputusan dan kita tunggu selepas mesyuarat MKT, iaitu mesyuarat paling hampir ialah pada 28 September ini, dan yakin keputusan rasmi akan dibuat oleh parti,” katanya ditemui selepas Program Jelajah Bajet 2023 peringkat Parlimen Jelebu di Kompleks UMNO Jelebu di sini, Khamis.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu seterusnya menambah sehingga keputusan dibuat, ahli UMNO diharap terus kekal dengan agenda memantapkan parti sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke -15.

Ditanya mengenai mesyuarat cawangan UMNO berikutan ada usul yang membabitkan kepimpinan parti, Jalaluddin berkata ahli UMNO di setiap cawangan atau bahagian perlu memberikan tumpuan bagi memantapkan parti dan bukan bertelagah mengenai isu yang boleh dijadikan peluru oleh pihak lawan.

“Mesyuarat sepatutnya membincangkan hal parti dan mengurangkan polemik selain mengetepikan perbezaan. Sekarang ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob adalah Naib Presiden UMNO manakala Presiden adalah Datuk Seri Dr  Ahmad Zahid Hamidi yang perlu dipertahankan ahli di semua peringkat.

“Kalau kita mempertikaikan Presiden dalam persidangan bermaksud kita mempertikaikan parti, jika kita mempertikaikan Perdana Menteri, kita juga mempertikaikan parti,” kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi.

Justeru beliau mahu polemik mempertikaikan kepimpinan perlu dihentikan sebaliknya persidangan digunakan bagi membincangkan hal menguatkan parti.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.