Pendekatan UMNO/BN Kepada Masyarakat Tidak Bermusim – Fadzli

RAUB, 15 Sept – Pendekatan yang diambil UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk bersama masyarakat tidak hanya tertumpu kepada program tertentu semata-mata sebaliknya dipelbagaikan yang sekaligus membuktikan perjuangan parti berkenaan tidak terhad kepada kumpulan tertentu semata-mata.

Rata-rata itulah yang dipraktikkan sekian lama oleh pimpinan UMNO pelbagai peringkat sehingga ke akar umbi yang akhirnya baik golongan dewasa mahupun golongan lain mendapat perhatian sebaik mungkin.

Itulah yang dikongsikan oleh Ketua Pemuda UMNO Raub, Fadzli Mohamad Kamal yang bukan sahaja sentiasa dekat dengan pelbagai kumpulan masyarakat malah memenuhi hasrat anak muda di Kampung Lechar, Dong untuk mendapatkan tiang gol futsal.

“Alhamdulillah semalam dapat penuhi hasrat anak muda Kampung Lechar, Dong untuk memiliki tiang gol futsal. Seronok tengok reaksi kegembiraan mereka apabila mendapat tiang gol baru. Menjadi kepuasan kita pula tatkala dapat memenuhi permintaan mereka. Sokong anak muda,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang seterusnya menambah usaha dan tumpuan terhadap pembangunan anak-anak muda tetap akan menjadi keutamaan dan pada masa yang sama turut memberi perhatian sewajarnya kepada peringkat kumpulan yang lain.

Beliau yang juga berkongsi menerusi Facebook mengenai perkara berkenaan turut mendapat pujian dan penghargaan daripada netizen yang melihat ianya adalah tanda keprihatinan pimpinan setempat kepada anak-anak muda.

Selain menghargai usaha tersebut ada juga yang mengambil kesempatan untuk memohon gelanggang futsal serta perkara lain.

“Terima kasih banyak-banyak bossku Fadzli Mohamad Kamal kerana sudi memahami hasrat dan denyut nadi anak muda Lechar… semoga permohonan gelanggang futsal dipermudahkan dan hanya Allah s.w.t mampu membalas jasa baik,” kata Mohd Nor Baharum.

Sementara itu seorang lagi rakan Facebook beliau yang menggunakan nama Kashful Anuwar turut melahirkan terima kasih terhadap usaha yang dilaksanakan itu dan berharap ianya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin anak muda setempat.

“Terima kasih Ketua Pemuda Fadzli Mohamad Kamal. Anak muda Lechar amat menghargainya. Akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Terbaik,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.