UMNO/BN Realitikan Kestabilan, Kejayaan Pelaburan Johor Jadi Bukti Keutamaan Untuk Rakyat

JOHOR BAHRU, 14 Sept – Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memaklumkan Johor mencatat pelaburan tertinggi dalam negara, iaitu sebanyak RM60.9 bilion bagi separuh tahun pertama 2022.

Dalam hal ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) merealitikan Ikhtiar BN semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu menjadi nyata.

Katanya, dengan kejayaan ini membuktikan bahawa pentadbiran kerajaan baharu BN mampu menarik pelaburan dan mengembalikan negeri terbabit menjadi tumpuan bukan hanya dalam negara malah juga dari pelabur asing.

“UMNO/BN tak main-main. Setiap yang dikata akan dikota. Tahniah kepada barisan kepimpinan BN Johor yang terajui menteri besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi. Terbukti bahawa BN bekerja dan laksanakan janji-janji yang telah dinyatakan malah menolak polemik politik.

“Biarpun kita akui bahawa pihak lawan masih tetap mahu mewujudkan pelbagai perkara untuk diangkat sebagai isu namun sememangnya itu bukan keutamaan kerana bagi UMNO/BN adalah untuk berkhidmat, bekerja dan kembalikan kemajuan yang tertangguh,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini beliau mengajak orang ramai untuk menilai sendiri bagaimana pentadbiran antara BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Sekarang tentunya rakyat dapat menilai dan melihat sendiri berdasarkan kepada apa yang berlaku sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 hinggalah ke hari ini.

“BN sebagai platform untuk beralih kepada yang lebih baik demi kestabilan rakyat berbanding dengan PH yang penuh janji palsu dan PN yang caca marba.

“Sekarang ini BN bekerja dan berusaha malah buktinya laporan tentang kedudukan pelaburan tertinggi dalam negara sedangkan sebelum ini ketinggalan. Ini berbeza dengan pihak lawan kerana mereka masih cerita bagaimana nak kalahkan BN dan bukan untuk menjaga rakyat.”

Ujar Sharifah Azizah, ini adalah kerana pihak lawan tidak ada perancangan untuk masa hadapan.

“BN ada perancangan nyata, ada pelan dan langkah-langkah bagi memulihkan ekonomi termasuk hubungan dengan negara jiran Singapura misalnya sedangkan pihak lawan masih nak menakut-nakutkan rakyat dengan macam-macam fitnah misalnya ‘kluster mahkamah’ yang diulang-ulang atau macam-macam janji.

“Terlalu banyak beza antara kepimpinan dalam BN dan pembangkang dan paling mudah lihat sahaja menteri besar Johor sekarang iaitu seorang yang berlatar belakangkan akuantan bertauliah, tahu nilai kewangan dan jaminan anak bangsa sedangkan parti lawan dipenuhi tukang karut yang sibuk dengan polemik politik sahaja.”

Justeru gesanya, inilah ruang untuk anak bangsa bangkit sebagaimana Johor merealitikan kestabilan demi masa depan yang tentunya boleh dicapai dalam kerajaan Persekutuan dalam PRU ke-15 kelak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.