Sertai UMNO Untuk Platform Perjuangan, Khidmat Terbaik Kepada Rakyat – Jamal

KOTA KINABALU, 14 Sept – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi menegaskan bahawa sokongan kepada UMNO semakin bertambah dari hari ke hari berdasarkan kepada permintaan untuk menyertai keahlian parti agar dapat bersama-sama dalam perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air selain khidmat kepada rakyat.

Katanya, pelaksanaan persidangan di akar umbi melalui mesyuarat UMNO Cawangan menjadi kesempatan terbaik kepada anggota parti menunjukkan solidariti yang tidak berbelah bahagi lantas menjadi tarikan kepada rakyat.

“Perjuangan UMNO bukanlah berlandaskan kepada agenda peribadi atau ada kepentingan tertentu sebaliknya kita berpaksikan kepada keutamaan mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

“Kita dah lihat apa yang berlaku apabila UMNO/Barisan Nasonal (BN) tidak menjadi kerajaan iaitu diganti oleh Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dan kemudiannya Perikatan Nasional (PN) 17 bulan, ternyata negara menjadi mundur malah Sabah menjadi negeri yang tertinggal berbanding dengan negeri-negeri lain,” katanya kepada UMNO Online.

Selaras dengan itu, beliau mengalu-alukan penyertaan orang ramai yang kembali kepada UMNO termasuklah orang-orang muda serta para penyokong BN.

“Kita manfaatkan setiap ruang yang ada terutamanya sekarang ini tarikh mesyuarat Cawangan UMNO yang masih berlangsung, maka ini adalah medan terbaik kepada orang ramai untuk melihat bagaimana proses berorganisasi dalam parti yang patuh pada perundangan dan Perlembagaan parti.

“Kita mahukan kestabilan dan kemakmuran maka kita tolak mana-mana parti politik yang berteraskan kepentingan sebagaimana PH, PN dan parti Warisan juga yang telah terbukti gagal dan kini, kita berusaha untuk kembalikan mandat rakyat kepada UMNO/BN,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau pada Sabtu telah menyempurnakan perasmian Mesyuarat Cawangan UMNO Kampung Mook Kinarut dan turut menerima penyerahan borang masuk UMNO dari warga setempat di sini.

“Tentunya dengan sokongan dari akar umbi yang menambahkan lagi bilangan ahli UMNO akan membuat kami bertambah semangat dan akan memperkemas usaha bagi memastikan kesiapsiagaan mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 semakin mantap.

“Inilah bukti bahawa UMNO tetap dekat di hati rakyat malah kita melaksanakan khidmat bakti tanpa memilih kepartian atau ideology mereka sebaliknya usaha dilakukan sebaik mungkin agar semua pihak mendapat pembelaan,” katanya lagi.

Dilaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menetapkan persidangan UMNO peringkat Cawangan berlangsung sejak 15 Ogos hingga 18 September ini.

Selepas itu, menyusul ialah tarikh Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO Bahagian iaitu pada 7, 8 dan 9 Oktober 2022 sementara Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian ditetapkan pada 14, 15 dan 16 Oktober 2022.

Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun 2022 pula dijadualkan pada 23 hingga 26 November depan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.