Bukan UMNO Tapi PKR Yang Lebih Potensi Terkubur, Hilang Kepercayaan Rakyat – Azhari

KUALA LUMPUR, 13 Sept – UMNO Bahagian Shah Alam membidas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkenaan kenyataan membabitkan masa depan UMNO.

Ketuanya, Datuk Azhari Shaari berkata, sedangkan pada ketika ini penolakan rakyat pada PKR adalah jelas berdasarkan prestasi parti itu yang tidak memberangsangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor lalu.

“Rafizi sebenarnya silap (memang dia banyak kali silap pun) dalam mengatakan UMNO bakal terkubur. Walhal PKR yang lebih potensi terkubur atas faktor-faktor ini.

“Berdasarkan rekod buruk PRN Melaka dan PRN Johor. PKR kalah begitu teruk dan seolah-olah rakyat telah tolak PKR sepenuhnya.

“Semasa PRU Johor, Dap dan PAN sanggup serahkan kerusi Puteri Wangsa kepada MUDA dan biarkan MUDA bertembung kerusi dengan PKR maksudnya mereka pun anggap PKR sudah tidak kuat dan relevan.

“Bukti ahli PKR anggap PKR tidak relevan apabila pemilihan PKR pada Mei lepas menunjukkan hanya 12 peratus sahaja keluar mengundi. Sangat-sangat rendah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Azhari, bekas Ahli Parlimen Pandan itu semestinya mengetahui kelemahan yang dihadapi oleh parti pimpinannya dan disebabkan itu dia mewujudkan kempen Ayuh Malaysia bagi mengulangi agenda propaganda seperti dilakukan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

“Rafizi sebenarnya sudah sedar bahawa PKR makin tidak relevan di mata rakyat, rakan PH (Pakatan Harapan) dan juga ahli parti sendiri.

“Sebab itu dia sekarang bertungkus lumus dengan recycle strategi dia sebelum PRU-14 lagi dengan mewujudkan Ayuh Malaysia yang dahulunya INVOKE,” ujar beliau.

Beliau pada masa sama turut memaklumkan bahawa UMNO tidak akan terkubur seperti yang dikatakan oleh musuh kerana perjuangan dibawa ini membawa kesepaduan dalam kalangan ahli parti.

“UMNO tidak akan terkubur walaupun pelbagai cara dilakukan oleh pihak musuh, UMNO tetap berdiri teguh dan ramai pemimpin dan ahli akar umbi akan mempertahankan parti keramat ini,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.