Bekas ADUN Sungai Rambai Bebas 34 Pertuduhan Rasuah

MELAKA, 13 Sept – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman dilepas dan dibebaskan daripada 34 pertuduhan penyelewengan bernilai RM318,400 lima tahun lalu.

Peguambelanya, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, Hakim Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Datuk Mohd Nasir menetapkan demikian terhadap anak guamnya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan 19 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rasyidah Murni Adzmi dan Afif Mohd Ali.

Hasan, 60, menghadapi 34 pertuduhan pecah amanah dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 2016 dengan menandatangani 34 cek untuk projek ternakan rusa, tanaman pisang dan sayur-sayuran gantian cili dan jagung yang tidak diterima penerima projek berkenaan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Rambai, Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Jasin antara 20 Februari 2017 hingga 17 Januari 2018.

Bagi semua tuduhan itu, Hasan didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.

Hasnal Rezua berkata, pada prosiding itu mahkamah juga bersetuju yang pihak pendakwan gagal membuktikan kes malah bersetuju dengan semua hujah yang dibawa pihak pembelaan iaitu wang berkenaan disalurkan ke akaun JAPERUN secara telus tanpa melibatkan penyalahgunaan kuasa.

“Kita tidak memaklumkan keputusan ini lebih awal kerana menunggu tempoh 14 hari yang dibenarkan undang-undang untuk pihak pendakwaan memfailkan rayuan dan tiada rayuan dikemukakan sehingga tempoh tamat,” katanya pada sidang media khas di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini lewat petang tadi.

Seramai 22 orang saksi dipanggil untuk memberi keterangan bagi pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan kes bermula pada 2018 sehingga Ogos lalu.

Sementara itu, Hasan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin ketika ditemui bersyukur dan berterima kasih kepada semua rakan seperjuangan yang sentiasa mendoakan kejayaan kes itu sebelum ini.

“Dengan keputusan mahkamah ini, saya percaya jika kita berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara maka kita boleh jadikan negara ini kuat dan lebih maju dalam segenap lapangan kehidupan.

“Selepas ini, saya akan meneruskan usaha membantu dan membela masyarakat selagi mana diamanahkan sebagai Penyelaras JAPERUN Bemban,” katanya. – MalaysiaGazette

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.