Pihak Eksekutif Diingatkan Dukung Penuh Prinsip Kebebasan Kehakiman – Sultan Selangor

SHAH ALAM, 12 Sept – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pihak eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak dari sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan badan kehakiman.

Baginda bertitah kebebasan badan kehakiman memerlukan sokongan, dukungan, kefahaman dan iltizam dari semua pihak terutama dari pihak eksekutif.

Kind and caring…Sultan Sharafuddin Idris Shah, who celebrates his 62nd birthday today, has from his early days ,shown his concern and affection for his people and even during special occasions like to today, he continues to reflect on what more can be done so that his state becomes a developed status that provides more for his rakyat.


“Sehubungan dengan itu, beta menyeru semua pihak berganding bahu dengan mengambil langkah-langkah ke arah mempertahankan dan menjamin kebebasan badan kehakiman demi kesejahteraan dan kemakmuran negara,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Baginda juga menyeru agar rakyat memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan yang tidak berasas tanpa mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.

Sultan Sharafuddin bertitah sebarang tohmahan yang tidak berasas akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman dan pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara.

“Keadaan ini juga akan secara tidak langsung menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga menzahirkan sokongan padu baginda terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 5 Sept lepas, berkaitan dengan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

Titah baginda, rakyat perlu memahami bahawa proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang telah diperuntukkan di bawah perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengannya.

“Setiap rakyat di negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada badan kehakiman atas sesuatu kes yang diadili.

“Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik badan kehakiman agar ia tidak tercemar dari sebarang bentuk pengaruh dan tekanan,” titah baginda. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.