Johor Sasar Sektor Pelancongan Negeri Di Kedudukan Nombor Satu Negara

ISKANDAR PUTERI, 12 Sept – Johor menyasarkan sektor pelancongannya mencapai kedudukan nombor satu dalam negara tahun ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata hasrat tersebut bagi menyamai pencapaian pelaburan negeri yang mencatatkan nilai pelaburan tertinggi dalam negara dengan RM60.9 bilion serta kejayaan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA, Sabtu lepas.

Beliau berkata hasrat menjadikan sektor pelancongan berada di kedudukan nombor satu juga selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkasa pembangunan ekonomi Johor.

“Ini kerana negeri Johor dikurniakan dengan pelbagai pemandangan yang cukup indah, taman negara sahaja ada enam, pulau-pulau di Mersing ada 130, dari segi warisan pun sangat membanggakan… itu belum lagi cakap pasal makanan tradisi kita.

“Oleh itu, sama-samalah kita menjadi duta negeri untuk mengharumkan nama negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Majestic Johor Festival di sini malam tadi.

Majestic Johor Festival yang merupakan kerjasama pelbagai agensi itu bermula Khamis lepas (8 Sept) hingga Ahad ini (18 Sept) dengan menyediakan pelbagai tarikan dan keunikan pelancongan serta warisan 10 daerah di negeri ini.

Pameran Kembara Mahkota Johor yang menampilkan pelbagai kenderaan Sultan Johor adalah antara tarikan utama festival julung kali itu.

Festival berkenaan merupakan satu daripada inisiatif ke arah memperhebat sektor pelancongan sekali gus dilihat mampu meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini selepas terkesan akibat COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.