PM Ismail Sabri Ucap Takziah Atas Kemangkatan Ratu Elizabeth II

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili seluruh Keluarga Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada seluruh kerabat Diraja, kerajaan dan rakyat United Kingdom atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Beliau berkata baginda yang juga Raja Britain paling lama menduduki takhta, terkenal dengan sifat dedikasi dalam menjaga kebajikan rakyatnya.

Menerusi catatan di Facebooknya, perdana menteri berkata jasa baginda mengekalkan hubungan baik United Kingdom dan negara-negara seluruh dunia termasuk Malaysia sentiasa diingati dan dihargai.

“Saya berharap keluarga Diraja baginda dan rakyat terus tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Sementara itu, menerusi ciapan di Twitternya, Ismail Sabri menyifatkan kemangkatan baginda, benar-benar suatu kehilangan yang amat besar kepada negara Komanwel dan dunia.

Istana Buckingham pada Khamis mengumumkan Ratu Elizabeth II, mangkat pada usia 96 tahun. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.