Kerajaan Setuju Teruskan Empat Projek Di Bawah ECERDC – Ismail Sabri

TUMPAT, 9 Sept – Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan empat projek di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kesemua projek tersebut diputuskan dalam mesyuarat ECERDC di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Projek itu meliputi pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan sejauh 147 kilometer (km) dan Projek Tebatan Banjir di Rantau Panjang-Golok Fasa 2 yang telah diluluskan dengan kos sebanyak RM897 juta.

“Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk melebarkan jalan projek Lebuhraya Kuantan, Pahang – Segamat, Johor Fasa 2 yang melibatkan jajaran dari Runchang ke Simpang 3 Keratong sepanjang 51 km.

“Kerajaan juga akan membangunkan kawasan bandar-bandar bersempadan dengan Thailand iaitu membina jambatan Sungai Golok di Rantau Panjang dan Jambatan Tak Bai-Pengkalan Kubor,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Laman Warisan Kampung Laut, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Nazran Muhammad.

Ismail Sabri berkata kerajaan sentiasa berlaku adil dengan semua negeri dalam melaksanakan pembangunan.

“Saya menghargai usaha ECERDC dalam menerajui inisiatif-inisiatif pemulihan ekonomi negara di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan modal insan, projek-projek strategik dan penarikan pelaburan baharu.

“Usaha ini telah berjaya merancakkan lagi kegiatan ekonomi di ECER dan seterusnya menambah baik kesejahteraan Keluarga Malaysia,” kata beliau dan menambah program yang dilaksanakan di ECER dengan menyasarkan golongan B40, penganggur dan masyarakat Orang Asli telah mencatatkan kejayaan yang membanggakan.

Beliau berkata mengambil kira perkembangan semasa dan Pelan Induk ECER 2.0 yang akan berakhir pada 2025, ECERDC perlu menjalankan Kajian Pelan Induk ECER 3.0 untuk merangka pelan pelaksanaan sosioekonomi sehingga 2030.

“Saya difahamkan bahawa perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut nanti,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.