Rundingan Hanya Sah Apabila Diputuskan Kepimpinan UMNO – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa setiap rundingan yang melibatkan UMNO hanya akan dianggap sah apabila ia diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata sebarang rundingan perlu dijalankan secara ‘terang’ dan mengikut dasar parti.

“Parti mesti memutuskan siapa wakil parti yang sah untuk berunding dan sebagainya. Kalau pergi sendiri-sendiri tidak boleh dianggap sebagai mewakili parti.

“Apa pun rundingan yang nak dijalankan mesti secara rasmi dan diputuskan UMNO sendiri… kalau rundingan-rundingan lain tu mungkin pertemuan yang dianggap tidak rasmi, tidak akan menjadi keputusanlah kepada UMNO,” katanya selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Ismail Sabri diminta mengulas mengenai dakwaan seorang pemimpin PAS mengenai rundingan sulit membabitkan pemimpin tertentu dalam UMNO dan PAS yang menyentuh keperluan satu lawan satu antara mereka dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dilaporkan berkata parti itu, yang merupakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN), mahu UMNO tahu bahawa musuh utama pada PRU15 kelak adalah PH dan bukannya Bersatu.

Mengenai cadangan PAS untuk mengadakan rundingan mengenai 27 kerusi kritikal Parlimen pada PRU15, Ismail Sabri berkata cadangan itu boleh dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO untuk dibincangkan dan jika bersetuju boleh melantik wakil untuk mengadakan rundingan.

Sebelum ini, PAS dalam Muktamar di Kedah berharap rundingan dengan BN boleh diadakan bagi membincangkan perkara yang melibatkan 27 kerusi kritikal bagi peringkat Parlimen pada PRU15.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata PAS masih terbuka untuk berunding dengan BN terutama dalam memuktamadkan pembahagian kerusi untuk berdepan PRU15 demi penyatuan ummah. – BERNAMA