Pilih BN Untuk Solidariti, Perpaduan, Kestabilan, Kemakmuran – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menekankan bahawa rakyat khususnya pengundi perlu terus dalam tekad bersama-sama Barisan Nasional (BN) bagi memstikan solidariti, perpaduan, kestabilan dan kemakmuran yang diimpikan menjadi realiti.

Dalam hal ini beliau mengambil falsafah Saidina Ali iaitu: kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun.

“Kita lihat balik bagaimana di peringkat bahagian, di kawasan kita, adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya. Tentunya boleh kita lakukan demi solidariti, perpaduan, kestabilan dan kemakmuran,” katanya kepada UMNO Online.

Berkaitan dengan solidariti, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian mengaitkan dengan kes perundangan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam menghadapi perbicaraan di mahkamah baru-baru ini.

“Datuk Seri Najib bukan minta kesnya digugurkan tapi minta diadili. Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi 70 kali penangguhan tapi Datuk Seri Najib minta cuma satu kali penangguhan namun tak dibenar. Ada empat perkara ditolak, minta nasihat Queen Counsel ditolak, hendak beri bukti tambahan tentang Hakim Nazlan ditolak, minta tangguh masa untuk persediaan ditolak, minta Ketua Hakim berundur daripada menghakimi kerana konflik kepentingan suaminya ditolak.

“Kes 1MDB hanya Datuk Seri Najib yang didakwa tapi dil uar sana ramai yang lain dibiar bebas. Senarai 15 kes digugurkan oleh Tommy Thomas,” katanya.

Beliau mengaitkan tindakan Tommy Thomas selaku Peguam Negara zaman PH yang menggugurkan tuduhan terhadap 15 pemimpin PH, termasuk Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah; Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dan naib presiden PKR ketika itu, Rafizi Ramli.

Ahmad juga mengingatkan bahawa kestabilan dan kemakmuran berkait dengan ekonomi negara sebagaimana yang pernah dilakukan pada era Najib.

“Pada eranya, Datuk Seri Najib naikkan jumlah kekayaan negara daripada RM800 bilion kepada hampir RM2 trilion.

“Aset khazanah naik empat kali ganda daripada RM33 bilion kepada RM116 bilion tapi lepas tu sebahagiannya dijual oleh mereka (PH), aset Tabung Haji (TH) naik tiga kali ganda daripada RM31 bilion kepada RM74 bilion tapi lepas itu pun dijual banyak.

“Aset Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) naik tiga kali ganda daripada RM300 bilion kepada RM800 bilion yang kemudiannya sebahagian ini dijarah zaman PH. Rezab Petronas naik enam kali ganda daripada RM30 bilion kepada RM176 bilion.”

Beliau turut menyorot berkaitan pelbagai usaha yang dilakukan oleh Najib demi rakyat.

“Apa yang Najib dah buat buat untuk rakyat… beliau wujudkan BR1M, PR1MA, Klinik 1Malaysia, MRT, mansuh yuran sekolah, bantuan buku, elaun pesawah, elaun nelayan, bantuan khas pekebun kecil getah, bantuan khas awal persekolahan, ADAM50, subsidi rumah Mesra Rakyat, lebuhraya tanpa tol Pan Borneo dan macam-macam lagi yang kalau nak disebut terlalu panjang.

“Beliau naik tidak memijak kawan, jatuh tidak menarik lawan,” katanya yang mengimbas pegangan Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

Tegasnya, pengorbanan Najib tidak boleh disia-siakan dan semangatnya yang jitu perlulah diteruskan dalam perjuangan UMNO/BN dengan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Najib dipenjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman ke atasnya termasuk denda RM210 juta dalam kes penyelewengan SRC International. – UMNO Online