Kehadiran XP Power Mampu Kukuhkan Ekonomi, Suntik Keyakinan Pelabur – MB Perak

SERI ISKANDAR, 8 Sept – Kehadiran syarikat pembuat komponen elektrik dan elektronik (E&E) XP Power Pte Ltd mampu menyuntik pembangunan industri di Perak sekali gus membantu mengukuhkan semula asas ekonomi bagi memberi keyakinan kepada para pelabur baharu serta sedia ada.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ini termasuk dengan pembinaan bangunan kilang baharu syarikat tersebut di sini, yang melibatkan pelaburan RM300 juta selain mampu mewujudkan 1,200 peluang pekerjaan.

“Berpengalaman lebih tiga dekad dalam industri dan antara 250 yang tersenarai dalam Bursa Saham London, saya yakin ia akan menyediakan ruang yang luas kepada proses pemindahan teknologi dan pengetahuan.

“Malah lebih membanggakan XP Power berminat untuk menjalankan kerjasama dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Politeknik Ungku Omar (PUO), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh dan Pusat Pembangunan Usahawan Dan Kemahiran Negeri Perak (PESDC) Ipoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan majlis pecah tanah pembinaan Kilang XP di Taman Perindustrian Farmaseutikal di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan XP Power Oskar Zahn; Pengerusi Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Khairul Shahril Mohamed.

Saarani berkata pembinaan kilang baharu itu akan melengkapkan fasiliti, meningkatkan daya tahan dan fleksibiliti rantaian bekalan produk XP Power khususnya di rantau Asia Tenggara.

“Pembinaan kilang akan bermula pada bulan ini dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2024 dan menjadikan kilang pertamanya di Malaysia serta ketiga di Asia Tenggara.

“Pelaksanaan fasa pertama projek yang dikenali sebagai Asia III ini dibangunkan di atas lot industri seluas 8.5 hektar dan bakal menjadi kilang terbesar bagi XP Power menyasarkan penarafan bangunan hijau melalui rating Green Mark Gold Standard,” jelasnya.

Beliau berharap penduduk Perak khususnya anak-anak muda di sekitar daerah itu akan berpeluang mengisi peluang kerjaya berkualiti sekali gus menepati teras dalam pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu ‘Kepakaran Berkualiti dan Bernilai Tinggi’. – BERNAMA