Memang Benar UMNO Hari Ini Tidak Sama Dengan Zaman Tun M Dahulu – Razlan

KUALA LUMPUR, 7 Sept – UMNO hari ini tidak sama dengan UMNO yang dahulu kerana mereka mengamalkan keterbukaan pandangan serta tidak sanggup bertindak terhadap musuh sesama parti, bukan seperti zaman mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, terlalu banyak perubahan demokrasi yang dilakukan oleh UMNO meskipun ianya memakan diri untuk memperbetulkan kesalahan Mahathir memerintah UMNO selama 22 tahun dengan ‘kuku besi’.

“Memang benar UMNO hari ini tidak sama dengan UMNO dahulu, UMNO hari ini bukan zaman UMNO yang 22 tahun Mahathir ketuai. Mahathir kejam, sanggup memenjarakan musuh Presiden. UMNO hari ini bukan ‘kuku besi’ dan UMNO hari ini jauh dari Politik Nepotisme dan Kronism zaman Mahathir.

“UMNO hari ini mengamalkan keterbukaan pandangan. UMNO hari ini tidak sanggup bertindak terhadap musuh sesama parti tidak seperti zaman Mahathir, sekiranya berbeda pandangan, ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) senjata presiden, penjara tanpa bicara, baik musuh luar UMNO mahupun musuh dalam UMNO, semua yang memusuhi presiden akan di’ISA’kan.

“Terlalu banyak perubahan demokrasi yang dilakukan oleh UMNO dalam sudut ini, walaupun ianya memakan diri, untuk UMNO perbetulkan kesalahan selama 22 tahun Mahathir memerintah dengan ‘kuku besi’, UMNO merubah perundangan untuk rakyat melihat UMNO lebih terbuka. Sekiranya Mahathir tidak lakukan tindakan ‘kuku besi’ terhadap musuh, tidaklah ia terjadi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Menurut Razlan lagi, alasan Mahathir keluar daripada UMNO disebabkan amalan korupsi adalah tidak kukuh kerana ternyata beliau menggunakan pengaruh demi kepuasan diri.

“Mahathir kata keluar parti kerana korupsi, apa alasan Mahathir keluar parti semasa zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi)? Kenapa apabila Pak Lah menang besar, berusaha membawa pembaharuan dan membetulkan kesalahan Mahathir lalu, Pak Lah pula yang dipersalahkan?

“Dalam politik, cakap lain, buat lain. Itu Mahathir! Menggunakan pengaruh demi kepuasan diri, apabila Pak Lah jatuh, Mahathir puas dan masuk semula dengan alasan kononnya beliau benar,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, Mahathir akan mengambil tindakan sekiranya kroni beliau diusik dan perkara itu tidak pernah berubah dari dahulu lagi.

“Mahathir tetap Mahathir, tidak pernah berubah, mengambil tindakan sekiranya kroni beliau diusik. 1MDB mengambil semua IPP (penjana tenaga bebas) di bawah jagaan kroni Mahathir, beliau marah, Proton mahu ‘bailout’ sebanyak RM1.2 bilion, Najib (Datuk Seri Najib Razak) tidak luluskan. Itu sebab Mahathir ambil tindakan, bukanlah sangat sebab korupsi!

“Semua tahu dan maklum, Daim Zainuddin antara orang kanan yang banyak duit, banyak harta, pengaruh beliau besar, duit digunakan untuk mencorakan usaha yang dirancang dengan Mahathir untuk jatuhkan UMNO, selesai sahaja tugasan, habuan kontrak dan ratusan juta untuk kroni, di depan baik, di belakang merancang memonopoli hasil negara,” dakwanya lagi.

Beliau dalam pada itu berkata, UMNO akan terus berubah demi kepentingan negara dan pembangunan negara akan terus dirancang.

“UMNO tetap UMNO, parti yang terus berubah demi kepentingan negara, dasar dan kemajuan diteruskan demi kelangsungan pembangunan negara, tidak kira apa orang nak kata, pembangunan terus dirancang!

“Bukan macam Mahathir, 22 bulan memerintah, pembangunan terbantut, kontrak ditamatkan, pekerja diberhentikan, semuanya dendam kesumat, walau sewaktu itu masih ada ISA, mungkin semua MKT UMNO sudah dipenjarakan!

“Mahathir tukar Peguam Negara, tukar hakim, tukar ketua polis, tukar Ketua Pengarah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), masukan semua kroni Mahathir, ketika ini semua setuju, Dap PKR dan Amanah setuju, kerana apa… habuannya, mereka semua akan dijaga dan kes-kes semua digugurkan. Pandai Mahathir guna kuasa, ‘kuku besi’ kembali ke Malaysia,” bidasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.