Presiden UMNO Terima Kunjungan Hormat Delegasi PCOM

KAJANG, 6 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungan Pertubuhan Palestinian Culture Organisation Malaysia (PCOM) yang diketuai Timbalan Ketua Perhubungan Luar Hamas merangkap pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengadakan pertemuan lebih satu jam yang bermula pada pukul 8 malam.

Pertemuan tersebut diadakan di Yayasan Al Falah, di sini dalam suasana yang penuh harmoni.

Terdahulu beliau telah menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah bersama delegasi PCOM dan pelajar-pelajar tahfiz Yayasan Al-Falah.

Antara lain menyaksikan perbincangan berkenaan hubungan terjalin di antara UMNO dan PCOM.

Ianya berlangsung dalam suasana mesra dan didahului jamuan ringan yang kemudian disusuli perbincangan berkaitan isu-isu semasa.

UMNO secara konsisten memberikan sokongan kukuh kepada Palestin dan perjuangan penduduknya dari segi politik, ekonomi dan moral, selaras dengan prinsip parti untuk berdiri teguh bersama Palestin.

Hubungan akrab antara UMNO dan Palestin sudah berjalan begitu lama dan mengharap ianya akan terus baik demi perjuangan membebaskan rakyat Palestin yang dijajah oleh rejim Israel.

Pada akhir pertemuan terbabit, Ahmad Zahid dan Osama melakukan pertukaran cenderamata.

Turut hadir dalam pertemuan ini Pengerusi PCOM Malaysia, Muslim Imran, Exco PCOM, Muath Seyam dan pegawai perhubungan politik PCOM, Mahmoud Mardawi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan