Persidangan Tahunan UMNO: Akar Umbi Terus Semarakkan Obor Perjuangan Parti – Rais

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Persidangan UMNO peringkat cawangan yang turut membabitkan Wanita, Pemuda serta Puteri di seluruh negara kian rancak dengan masing-masing mengambil kesempatan waktu sama ada pada hari biasa atau pun hujung miggu untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan parti.

Tidak terkecuali di Tangga Batu apabila Persidangan Tahunan UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri bagi Cawangan Paya Emas berjaya dilaksanakan dengan momentum semangat yang cukup tinggi daripada ahli setempat.

Apatah lagi dengan kejayaan manis UMNO/Barisan Nasional (BN) Melaka yang mendapat mandat daripada rakyat negeri berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini sudah pasti melonjakkan lagi semangat ahli parti di akar umbi.

Perkara itu dikongsikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan juga Ketua Pemuda UMNO Tangga Batu, Datuk Rais Yassin yang turut melihat akar umbi adalah penggerak utama dan itulah keistimewaan UMNO yang berakar umbi dan institusi yang teratur.

“Insya-Allah akar umbi akan sentiasa bersama parti UMNO dalam memperkasakan agenda dan seruan yang dibawa oleh Datuk Seri Presiden untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN di Melaka.

“Apa pun inilah yang kita ingin tekankan bahawa tanpa akar umbi UMNO sudah pasti tidak mampu untuk bergerak apatah lagi untuk merealisasikan obor perjuangan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Ahad lalu berlangsung Persidangan Tahunan UMNO, Wanita, Pemuda, Puteri bagi Cawangan Paya Emas.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Bin Yusoh, yang  menjadi tetamu kehormat bagi persidangan tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput seterusnya berharap persidangan cawangan akan terus menjadi suara akar umbi dalam menyatakan pandangan serta lontaran dalam usaha parti mendepani segala cabaran yang mendatang khususnya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Terima kasih dan tahniah kepada Ketua Cawangan, En. Safiaee Bin Othman serta ahli-ahli yang lain kerana berjaya menjalankan persidangan kali ini. Teruskan perjuangan. Allahu Musta’an,” tambah Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Melaka itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.