Antara MN Atau PN: Pimpinan, Ahli Pas Disaran Solat Sunat Istikharah – Sharkar

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata seluruh ahli dan pimpinan Pas perlu melakukan solat sunat istikharah beramai-ramai bagi memilih antara gabungan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau jika Pas mahu terus bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi  Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) akan datang, perkara itu perlu segera diputuskan parti tersebut.

“Selain itu, Pas juga harus menghormati kepimpinan UMNO yang telah dipilih ahli akar umbi UMNO jika mahu meneruskan kerjasama. Pas tidak boleh terus bermain dua kolam kerana UMNO seperti diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) jelas, tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM/Bersatu) dan juga Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

“Ini keputusan dasar parti yang dibuat pada peringkat tertinggi parti, iaitu PAU dan ia perlu dihormati oleh Pas jika mahu terus bekerjasama dengan UMNO di bawah gagasan MN,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Kata beliau lagi, Pas telah pun ‘berkahwin’ dengan Bersatu di bawah PN dan kini mahu ‘berpoligami’ pula dengan UMNO.

“Apa sebenarnya pendirian Pas? Pilih PN ataupun MN pada PRU-15?

“Saya berpandangan Bersatu juga enggan bekerjasama dengan UMNO kerana apa diinginkan parti itu adalah ‘khemah besar’ yang melibatkan semua parti termasuk PH (Pakatan Harapan).

“Jadi, segerakan solat sunat istikharah dan pilih antara MN atau PN. Janganlah Pas mahu terus bermain dua kolam demi memastikan kerusi dimenanginya PRU-14 lalu selamat pada PRU-15 akan datang.

“Jika Pas benar-benar ikhlas mahu bekerjasama dalam gagasan MN yang boleh dikatakan telah pun bercerai, segera pilih antara MN atau PN dan bersediakah Pas menggunakan logo BN (Barisan Nasional) pada PRU-15?,” tegasnya.

Tegas beliau lagi segala keputusan terserah kepada kepimpinan Pas dan tepuk dada tanya selera.

“BN dan UMNO kekal konsisten dengan keputusan yang dibuat dan telah pun bersiap sedia bergerak solo bagi menghadapi PRU-15,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.