Usah Diputar Belit, Berlagak Suci Dan Mengelirukan Orang Ramai – Suraya

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob menasihatkan Pas agar lebih ikhlas dan bercakap benar kepada rakyat tentang soal jemputan atau kehadiran kepimpinan UMNO ke Muktamar Pas 2022.

Tegas beliau usah diputar belit, berlagak suci atau ‘play victim’ dalam soal ini, dan mengelirukan orang ramai mengenai hal sebenar yang berlaku dengan menyalahkan kepimpinan UMNO.

Menjelaskan lebih lanjut Suraya seterusnya menambah tidak dinafikan pada 30 Ogos baru-baru ini, ada menerima jemputan dari Ketua Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahya menjemput ke Muktamar Tahunan Pas yang berlangsung di Kedah atas tiket Exco Kerajaan Negeri dan bukannya atas kapasiti melibatkan kepimpinan UMNO.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa jemputan tersebut dibuat atas tiket Exco Kerajaan Negeri Kedah dan langsung tidak melibatkan kapasiti kepimpinan UMNO atau institusi kepartian.

“Malah ketika berbual dengan Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan, di Majlis Perasmian Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas Dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan pada 1 September lalu, beliau hanya berseloroh memberitahu Muktamar Tahunan Pas 2022 itu dibuat serentak dengan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Kedah.

“Namun beliau langsung tidak menyebut tentang sebarang jemputan kepada kepimpinan UMNO di peringkat Pusat mahupun Negeri Kedah ke Muktamar berkenaan. Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berada di majlis yang sama juga tidak dimaklumkan tentang sebarang undangan ke Muktamar Pas 2022 itu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Suraya turut menegaskan tiada sebarang undangan dibuat oleh Pas kepada kepimpinan UMNO Pusat atau Negeri Kedah untuk ke Muktamar Pas baru-baru ini, melainkan hanya kepada Exco Kerajaan Negeri Kedah sahaja.

“Hakikatnya, sepanjang empat tahun Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan, saya tidak pernah sekalipun hadir ke mana-mana Muktamar Tahunan Pas, mahupun mesyuarat di peringkat Pas kawasan mahupun Negeri Kedah.

“Peliknya, pada tahun 2022 ini kecoh pula tentang kononnya tidak seorang pun kepimpinan UMNO hadir pada Muktamar Pas? Bagaimana kepimpinan UMNO hendak hadir jika tiada sebarang jemputan dibuat atas kapasiti parti? Apakah kerana kekecohan tersebut sengaja Pas cetuskan gara-gara Pilihan Raya Umum (PRU)15 yang hampir tiba. Demi menjaga hubungan persaudaraan sesama kita, saya harap Pas maklum mengenai perkara ini,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.