UMNO Siswa Bakal Tonjol Watak, Wajah Baharu UMNO – Shahril

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berpandangan UMNO Siswa memainkan peranan tersendiri termasuk merangka keperluan mengikut situasi berlandaskan kepada tuntutan jangka masa panjang dan pendek.

Menurut beliau, ini kerana tidak hanya fokus kepada keperluan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mereka juga semestinya mempunyai cita-cita lebih jauh yang berupaya menjadikan suatu rejuvenasi dalam parti.

“Bagi jangka masa pendek mereka perlu menonjolkan watak-watak yang boleh dilihat sebagai wakil atau muka UMNO dalam berhujah dan berdebat dengan parti lawan.

“Sekarang ini bukan hanya kami yang berjawatan sahaja yang boleh masuk ke kaca mata televisyen bercakap mengenai isu-isu semasa bahkan mereka juga mempunyai perspektif atau sudut pandang yang unik mengikut umur dan generasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Pemukiman UMNO Siswa di Auditorium Menara Dato Onn, semalam.

Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga pada masa sama mengharapkan idea-idea pembaharuan di bawah institusi ini, antaranya untuk memastikan manifesto yang bakal ditawarkan menjelang PRU ini dekat dengan generasi mereka.

“Sebab kami di Ibu Pejabat UMNO ini mungkin ada benda yang tahu tapi ada juga yang tidak khususnya apa yang mahasiswa perlukan.

“Saya rasa lebih rumit daripada semata-mata kita hendak berikan bantuan kewangan ataupun baucar buku dan sebagainya mesti ada perkara yang lebih complicated yang hanya mereka lebih arif, itu antara salah satu peranan besar UMNO Siswa,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berkenaan pemukiman yang telah dilaksana bermula di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik beliau berkata ianya sebagai pendekatan terbaik bagi mendedahkan mereka dengan politik khidmat bakti parti keramat ini kepada rakyat khususnya golongan muda.

“Pemukiman UMNO Siswa merupakan satu lagi langkah ke arah kematangan institusi baharu ini kerana ianya baru beberapa tahun diwujudkan untuk kita selaraskan gerakan mahasiswa dan orang muda ini yang menyokong UMNO.

“Jadi saya nampak pemukiman ini menunjukkan bukan hanya sanggup berkorban masa untuk benar-benar menjiwai proses parti kita tetapi sudah ada jambahan idea-idea bagaimana mereka hendak membantu ke arah PRU-15 dan juga peremajaan UMNO selepas itu,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.