Siasat Campur Tangan Pejabat Peguam Negara Terhadap Badan Kehakiman – Ir Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain menyeru badan eksekutif yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk segera menyiasat sedalam-dalamnya campur tangan Pejabat Peguam Negara.

Katanya, ini kerana badan kehakiman sepatutnya kekal bebas daripada sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak termasuklah daripada badan eksekutif yang diketuai Perdana Menteri sendiri.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu merehatkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun ini dengan kadar segera sehinggalah siasatan selesai. Pencabulan terhadap pengasingan kuasa ini amat serius dan tidak dapat diterima.

“Jika benar negara tercinta ini bakal menjadi bahan jenaka dunia. Walau di ambang sambutan kemerdekaan, ternyata kita masih belum benar-benar mengisi kemerdekaan itu dengan pelaksanaan pengasingan kuasa sepenuhnya,” katanya menerusi satu catatan di Facebook.

Ir Abdul Aziz yang juga Ketua Pemuda UMNO Kota Kinabalu menjelaskan sebagai rakyat Malaysia, beliau berhak bertanya sama ada Ketua Hakim Negara turut menerima surat yang serupa daripada pejabat Peguam Negara untuk menyelesaikan kes SRC Datuk Seri Najib Razak dengan kadar segera.

“Bukankah negara ini negara hukum yang mengamalkan konsep pengasingan kuasa di antara badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman?,” soalnya.

Kelmarin telah tular surat daripada Pejabat Peguam Negara yang memberikan arahan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah untuk menyelesaikan prosiding kes Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan kadar segera. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.