Rapatkan Saf Demi Bawa Perjuangan Parti Ke Arah Hadapi PRU-15 – Abd Rahman

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – UMNO Bahagian Sabak Bernam hari ini mengajak kesemua ahli parti untuk merapatkan saf terutama bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata meskipun berdepan pelbagai cabaran namun kematangan amat penting bagi memastikan matlamat utama tidak terlepas dari fokusnya.

“Sebagai sebuah parti keramat dan berpengalaman, kita seharusnya lebih matang dalam merealisasikan objektif parti. Maka, semua pihak harus bertenang dan merapatkan saf demi kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

“Tindakan menyerang sesama sendiri, akan memberikan persepsi negatif kepada parti dalam agenda mencapai kemenangan pada PRU-15 nanti.

“Justeru, marilah kita kembali kepada cogan kata UMNO, ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’ dalam memastikan kemenangan parti pada pilihan raya nanti,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Pada masa sama Abd Rahman turut memaklumkan UMNO Bahagian Sabak Bernam tetap kukuh dengan perinsip setia kepada parti dan patuh kepada keputusan Top 5 dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Sebagai sebuah Keluarga besar UMNO, kita harus memberi kepercayaan kepada MKT dan kepimpinan ‘Top 5’ dalam menentukan hala tuju dan pembubaran Parlimen.

“Selain itu, kami juga akan terus memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk PRU-15,” ujar beliau.

Dalam pada itu beliau juga meluahkan dukacita atas musibah yang melanda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sudah pasti, kita tidak dapat menyangkal segala kebaikan yang telah dilakukan untuk rakyat dan parti khususnya,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.