UMNO Amalkan Politik Khidmat, Bukan Politik Khianat, Pesan Yahya Kepada Akmal Nasir

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar tegas berpesan kepada Ahli Parlimen kawasan itu Akmal Nasir bahawa politik UMNO adalah politik khidmat, bukan politik khianat.

Katanya, politik UMNO adalah politik baharu, menzahirkan idea dan polisi yang mapan, bukan politik murahan.

“Maka jangan pernah ambil kesempatan untuk membuat tuduhan yang tidak berasas semata-mata untuk raih simpati dan populariti.

“Jadi, jangan mudah menuding jari, YB (Yang Berhormat) Akmal. UMNO masih tetap dengan khidmat kami dalam mengemudi perjuangan rakyat.

“Namun, jika YB Akmal masih memilih untuk bermain dengan politik fitnah dan tuduh-menuduh, maka teruskan, biarlah rakyat yang membezakan antara yang hak dan yang batil, antara yang kaca dan yang permata,” ujarnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Yahya memberi respon demikian sambil menzahirkan kekecewaan dan kekesalan terhadap dakwaan serta tuduhan melulu oleh Akmal yang telah mengaitkan individu yang menghantar mesej berbaur ugutan bunuh dengan kejadian kebakaran yang berlaku di pejabatnya pada 28 Ogos lalu kononnya datang daripada penyokong UMNO dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Kami mengharapkan pendekatan politik yang lebih berbentuk progresif dan proaktif daripada Ahli Parlimen Johor Bahru yang berusia muda ini, namun permainan politik lama dan hina juga yang menjadi pilihannya,” tambahnya.

Namun begitu, ulasnya dengan rasa rendah hati ingin menyatakan rasa simpati terhadap musibah yang telah menimpa Akmal.

“Semoga terus diberikan kecekalan dan semangat yang kuat untuk berkhidmat.

“Berkenaan dengan kejadian kebakaran ini, saya meletakkan sepenuh pengharapan agar kes ini dapat disiasat dengan teliti dan setelus-telusnya oleh pihak berkuasa,” gesanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.