Campur Tangan Mahkamah: Peguam Negara Adalah Badan Eksekutif Bukan Kehakiman – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menuntut penjelasan tuntas Peguam Negara berhubung surat yang tular semalam berkaitan perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau walaupun hari ini, Pejabat Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan menarik balik surat tersebut, penjelasan mengenainya perlu diketahui umum kerana ianya melibatkan soal imej institusi berkenaan.

“Kelmarin tular surat daripada Pejabat Peguam Negara yang didakwa mengarahkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mempercepatkan prosiding kes Datuk Seri Ahmad Zahid.

“Persoalannya, bolehkah Peguam Negara sebagai badan Eksekutif mencampuri urusan badan Kehakiman?Bukankah seharusnya Pejabat Peguam Negara sendiri menghormati doktrin pemisahan kuasa antara 3 badan; Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman?,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tegas beliau mengapa hanya kes Datuk Seri  Ahmad Zahid dan kenapakah tidak kes-kes rasuah lain yang berprofil tinggi seperti Kes Rasuah Terowong Lim Guan Eng, kes rasuah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Walaupun hari ini, Pejabat Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan menarik balik surat tersebut, Pemuda UMNO menuntut penjelasan tuntas Peguam Negara kerana melibatkan kredibiliti dan imej institusi yang mula dikaitkan dengan percaturan politik sejak Tommy Thomas sendiri dengan bongkak mendedahkan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara dalam buku beliau,” ujarnya.

Sementara itu dalam ruangan komen, Asyraf yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) turut menegaskan beliau sama sekali tidak mempersoalkan siapa salah dan siapa betul dalam keputusan mahkamah.

“Saya tidak persoalkan soal siapa salah siapa betul dalam keputusan mahkamah. Isu utama di sini apakah Peguam Negara juga terlibat dalam percaturan politik? Apakah wujud doktrin pemisahan kuasa? Siapa tangan ghaib di sebalik semua ini?,” soalnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.