Program Berteraskan Konsep Keluarga Malaysia Menanti Pengunjung Di Jelajah AKM Kedah

ALOR SETAR, 29 Ogos – Pengunjung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah pada 2 hingga 4 Sept ini bakal disajikan dengan pelbagai program dan acara yang berteraskan nilai konsep Keluarga Malaysia sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebagai kementerian peneraju penganjuran Jelajah AKM kali ini, kementeriannya bersama pelbagai kementerian dan pihak swasta menyediakan sejumlah 117 program kepada pengunjung.

“Kita ada 117 program yang akan berlangsung, program-program ada yang dianjurkan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak swasta dan antara program yang dianjurkan adalah berkaitan keusahawanan.

“Usahawan yang berjaya dalam perniagaan mereka melalui bantuan agensi kerajaan, yang itu kita ada Mini Karnival Usahawan Desa di bawah KPLB, kita akan bawa usahawan yang telah berjaya ke Jelajah AKM ini,” katanya dalam program bual bicara Malaysia Hari Ini, yang disiarkan TV3 hari ini.

Selain itu, katanya terdapat juga program berkaitan pengembangan potensi kerjaya dengan agensi tertentu seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membantu golongan muda mengenal pasti peluang kerjaya mereka.

Agensi-agensi kerajaan yang menawarkan peluang melanjutkan pelajaran bagi lulusan Sijil Pelajaran Malaysia yang tidak berpeluang menyambung pengajian sebelum ini serta program padanan perniagaan, turut disediakan.

“Kita juga ada jualan usahawan, jualan murah dan kita ada program Jualan Happy Hour dan saya difahamkan untuk Jualan Happy Hour ini, beras 5 kilogram berserta seekor ayam akan dijual pada harga RM10 sahaja,” katanya.

Katanya, sejumlah 6,000 set beras dan ayam ditawarkan pada program Jualan Happy Hour itu yang akan berlangsung pada pukul 11 pagi dan 3 petang pada setiap hari sepanjang Jelajah AKM dan menggunakan pendekatan ‘siapa cepat dia dapat’.

Sementara itu, Mahdzir berkata penganjuran Jelajah AKM itu diharapkan dapat menerapkan nilai-nilai yang terkandung dalam konsep Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran ke dalam diri setiap rakyat atau pengunjung program itu.

“Kita nak beritahu rakyat bahawa kita berada dalam keadaan negara yang aman damai, kita tidak boleh buat Jelajah AKM ini kalau negara kita huru-hara, jadi erti aman damai itu maknanya kita dalam pelbagai kaum ini saling menghormati.

“Seterusnya kita nak dedahkan juga kepada rakyat di bandar dan di luar bandar bahawa mereka boleh mencari pelbagai kaedah untuk mendapatkan peluang, ada agensi kerajaan yang memberikan bantuan dalam bentuk pinjaman, ada agensi kerajaan yang boleh tolong dalam pendidikan dan bantuan kepada golongan B40,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.