K’jaan Johor Peruntuk RM136,000 Untuk Kos Operasi Harian Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea

JOHOR BAHRU, 29 Ogos – Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM136,000 bagi menampung kos operasi harian Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea (Kelainan Upaya Intelektual), Jalan Gertak Merah, di sini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ini kerana pendapatan yang dijana menerusi sewaan dewan bagi majlis keramaian telah terhenti ketika pandemik COVID-19 melanda.

“Saya telah berpeluang melawat Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea (Kelainan Upaya Intelektual) bagi melihat sendiri fasiliti dan keadaan sekolah tersebut selain berkesempatan menyantuni murid-murid dan berbual dengan tenaga pengajar mereka.

“Antara perkara yang terkesan ialah gaji kakitangan, namun begitu, saya kagum ia tidak sesekali melunturkan semangat mereka untuk terus mendidik dan menjaga kebajikan anak-anak syurga ini, ” katanya dalam hantaran menerusi Facebooknya hari ini.

Onn Hafiz berkata terdapat ahli-ahli jawatankuasa sekolah itu yang pernah menghantar anak-anak mereka ke sekolah berkenaan dan sehingga kini terus membantu pentadbiran sekolah.

Beliau berkata terdapat 30 murid tadika di sekolah terbabit dengan kelasnya dibahagikan kepada empat tahap mengikut keupayaan mental.

“Sekolah ini turut mempunyai 11 peserta bagi programnya yang dikenali sebagai Bengkel Terlindung yang mana bekas pelajar kembali untuk melakukan aktiviti pekerjaan.

“Selain itu, saya difahamkan bengkel itu juga mendapat kerjasama rantaian francais makanan Marry Brown yang mana peserta akan dibayar elaun untuk membungkus sos, tisu serta sudu dan garpu,” katanya.

Beliau turut berharap agar inisiatif itu dapat menjadikan anak-anak tersebut lebih berdikari selain berpuas hati dengan aktiviti harian mereka.

“Insya-Allah, kerajaan negeri akan sedaya upaya membantu meringankan beban yang dihadapi oleh sekolah bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan untuk anak-anak khas ini,” tambahnya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.