BN Pahang Sasar 14 Kerusi Parlimen… Mahu Sistem Kuota Dikaji Semula

 

KUANTAN, 29 Ogos – Barisan Nasional (BN) Pahang optimis untuk memenangi 14 kerusi Parlimen dan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Justeru itu, Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sistem kuota bagi meletakkan calon di sesuatu kawasan perlu dikaji secara lebih mendalam.

“Kalau kita nak menang, kita kena berusaha bersungguh-sungguh dan berfikir di luar kotak. Sekiranya kita berfikir secara biasa, mungkin agak sukar.

“Kalau mahu 14 kerusi Parlimen di Pahang, sistem kuota ini haruslah diteliti dengan sebaiknya untuk kebaikan kita bersama,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Perjumpaan Kepimpinan Parti Komponen Barisan Nasional Negeri Pahang di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang itu turut berkata, adalah sukar untuk UMNO/BN bangkit semula sekiranya parti itu kalah pada PRU ke-15.

“Kalau kita kalah pada PRU ke-15, amat sukar untuk UMNO/BN bangkit semula. Pada itu, kita perlu mengkaji semula sistem kuota sehabis baik. Kalau kita boleh menang di sesuatu kawasan, go ahead.

“Rakyat akan menilai kita (UMNO/BN) apabila tiba masanya. Kita perlu memastikan bahawa kerajaan yang rakyat pilih itu relevan dan menjalankan tugas.

“Kita perlu ingat, sokongan rakyat kepada kita semakin terhakis. Masa untuk pastikan pertambahan kerusi Dewan Rakyat (DUN) kepada 35 kerusi dan 15 kerusi untuk Parlimen,” kata Menteri Besar Pahang itu lagi.

Tambah Wan Rosdy lagi, meskipun negeri itu kehilangan seorang tokoh yang sangat penting iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semangat perjuangan beliau akan diterjemahkan pada PRU ke-15.

“Kita kehilangan seorang tokoh yang sangat penting dan berjasa kepada negeri. Walau beliau tidak memegang sebarang jawatan, pengaruh beliau tidak dapat dinafikan.

“Kita akan menterjemahkan semangat beliau pada PRU ke-15 akan datang,” katanya lagi.

Hadir bersama dalam program tersebut ialah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan kepimpinan komponen Negeri Pahang serta kepimpinan tertinggi parti peringkat negeri dan bahagian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.