BN Mesti Menang PRU15… Jangan Tergoda, Terlena Pujuk Rayu – Mohamad

 

KUANTAN, 29 Ogos – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa BN mesti menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

Katanya, bagi mendapatkan kerajaan yang mantap dan stabil, BN mesti berupaya tubuhkan kerajaan dengan sendiri.

“Kita BN telah memutuskan untuk bersendirian menghadapi PRU. Berapa kali nak cakap, biar ‘dia’ nak gesel-gesel tapi kita jangan tergoda dan terlena dengan pujuk rayu. Berapa kali kita nak kena tipu.

“Macam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dia minta tiga kita bagi lima tapi ‘dia’ tak nak kerana gambarkan BN tak akan menang, namun alhamdulillah kerana akhirnya kita menang 21 kerusi,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PRU BN berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perjumpaan bersama Kepimpinan Parti Kompenan BN Negeri Pahang yang diadakan di sini, hari ini.

Mohamad juga turut menyorot berkaitan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) semasa berkerajaan.

“22 bulan kita dah nampak bagaimana mereka mentadbir, bercakap seolah-olah boleh mengurus negara lebih baik tapi apa yang rakyat dapat. Sampai hari ini negara kita menderita akibat mereka hentikan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan aliran tunai kita terjejas.

“Jadi jangan percaya lagi menteri kewayangan (PH), cakap hebat tapi apa pun tak ada. Kita buat kerja kita untuk kembalikan kestabilan dan keyakinan pelabur pada negara.

“Ini jelas mengapa pelabur datang ke Melaka dan Johor. Johor daripada tempat yang keenam tapi sekarang menjadi tempat pertama yang menerima pelaburan asing yang berpunca daripada kestabilan yang dilakukan oleh BN selepas PRN.”

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menekankan betapa tahap kesiapsiagaan menuju ke pilihan raya amat penting.

“Nak perang mesti bersiap sedia. Nak menang mesti ada strategi. Strategi bukan perkara baharu dalam peperangan supaya kita tak kecundang kerana PRU-15 ini adalah pilihan raya hidup dan mati kita terutama di peringkat Persekutuan.

“Ini kerana kerajaan yang naik sebelum ini kita sendiri tahu dan dapat bayangkan. Apa yang telah jadi kepada bekas pemimpin kita malah rakyat juga.”

Katanya, ambillah iktibar yang berlaku dalam PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu amat penting untuk gerak kerja.

“Kita susun jentera, jangan tersilap, jangan ada lagi situasi tak tahu JR (Jalinan Rakyat) itu apa… pastikan mereka faham tanggungjawab. Pembancian sikap di Negeri Pahang dah 98 peratus dan di sini letaknya peranan rakan-rakan parti kompenan, MCA, MIC dan Friends of BN supaya dapat membantu terjemahkan sokongan rakyat kepada BN.

“Banyak Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) yang perlukan sokongan bukan hanya dari orang Melayu sahaja. Kita bekerja dalam satu pasukan, satu keluarga BN yang besar sebagaiaman di PRN Johor, PRN Melaka dan PRK-PRK yang lain.”

Terdahulu beliau menghargai kesiapsiagaan BN Pahang dalam mendepani PRU malah mengakui ianya dianggap antara yang terbaik berbanding negeri-negeri lain.

“Tadi pagi taklimat bilik operasi BN Pahang telah menjelaskan dengan begitu rapi persiapan Pahang untuk menghadapi PRU-15. Dah siap stategi cantik, rangka kerja yang cantik tapi perlu diterjemahkan dengan gerak kerja,” katanya lagi.

Hadir bersama dalam program tersebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta kepimpinan tertinggi parti peringkat negeri dan bahagian.

Turut bersama ialah Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Naib Presiden MIC, A Kohilan Pillay dan kepimpinan komponen negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.