Kestabilan Pemacu Ekonomi, Sumbang Pertumbuhan Negara – Hasni

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kemampuan UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk memajukan ekonomi negeri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dapat dilihat dengan peningkatan kedudukan Foreign Direct Investment (FDI), kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad.

Jelasnya, perkara ini dapat dilihat lebih-lebih lagi di negeri Johor yang berjiran dengan Singapura serta hampir dengan pintu masuk selatan negara yang menjadi pilihan pelabur.

“Pemimpin di Johor ini saya percaya akan menggunakan faktor tersebut sebagai kekuatan bila kita ada sebagai contoh ‘Iskandar Malaysia’, lebih RM368 bilion pelaburan telah datang ke sini sendiri sejak ianya diwujudkan dan ditubuhkan 15 tahun yang lalu. Untuk tahun ini sahaja RM13.2 bilion.

“Kenapa itu berlaku? Kerana kedudukan negeri Johor. Kita ada The Johor Bahru–Singapore Rapid Transit System (RTS), kita ada Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) yang akan kerajaan usahakan dan rundingkan semula. Kita ada pelaburan Petronas yang terbesar di Pengerang, di PIPC. Itu semua adalah kerana melihat kepada keupayaan dan kemampuan negeri Johor,” katanya semasa sesi wawancara secara langsung di Facebook UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu turut melahirkan rasa syukur apabila kerajaan UMNO/BN berjaya melahirkan ramai pekerja mahir dan separuh mahir di Johor.

“Dalam masa yang sama, alhamdulilah kita juga dapat melahirkan ramai pekerja mahir, separuh mahir dan pusat-pusat latihan di Johor kerana adanya permintaan yang besar daripada para pelabur yang berhasrat untuk melabur di Johor.

“Johor sentiasa menjadi pilihan. Untuk itu, kerajaan UMNO/BN terbukti dengan pengalamannya yang luas dapat memimpin dan menyediakan economic leadership dalam kepimpinan negara dan negeri kita,” katanya lagi.

Tambah Hasni lagi, UMNO/BN terus menjadi pilihan pelabur untuk melihat semula soal kestabilan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal untuk menyediakan satu pelan yang agresif untuk memajukan negeri dan negara.

“Bila PH diberi peluang untuk memimpin dengan ketiadaan pelan yang agresif untuk memajukan pelan negeri dan negara, maka tentulah UMNO/BN terus menjadi pilihan kepada pelabur-pelabur untuk melihat balik semula kepada soal kestabilan yang mereka harapkan.

“Kalau kita tidak mahukan kestabilan, kalau kita rasa pelabur pun tak perlu kestabilan, dia berani sahaja untuk melabur, sebab itu kita perlu mempunyai satu sense of economic leadership itu. Yang kita tahu, apabila kita dapat mewujudkan kestabilan dalam negara kita, itu adalah prasyarat yang penting kepada setiap pelabur yang datang ke negara kita,” katanya lagi.

Kedudukan FDI negeri Johor naik lima anak tangga daripada tangga ke-6 ke tangga yang pertama manakala negeri Melaka naik empat anak tangga dari tangga ke-9 ke tangga yang ke-5 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN). Sekaligus membuktikan bahawa kestabilan adalah satu penawar yang sangat diperlukan negara pada ketika ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.