Parti Tidak Memilih Jalanan Zahirkan Solidariti Bersama Najib, Pilih Rumah UMNO – Ahmad Zahid

 

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu bukan sahaja tidak memilih jalan raya untuk menzahirkan solidariti bersama mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak malah tidak berarak serta berhimpun di pusat membeli belah.

Sebaliknya jelas beliau UMNO memilih untuk berhimpun di rumah parti iaitu di Dewan Merdeka sebagai tanda solidariti dan kebersamaan perjuangan mantan Presiden UMNO.

“Kita memilih untuk berhimpun di rumah UMNO, di Dewan Merdeka ini sebagai tanda solidariti kita. Kita tidak memilih jalan raya untuk menzahirkan perasaaan kita.  Kita tidak berhimpunan di pusat membeli belah yang menggangu ketenteraman awam.

“Kita tidak berarak dengan melaungkan slogan menanam kebencian. Kita tidak membakar lilin di hadapan penjara. Kita tidak merosakkan harta benda awam bagi melampiaskan kemarahan kita. Ini kerana sebagai parti yang telah membina negara kita amat memahami setiap tindakan yang melampau seperti yang pernah kita saksikan sejak tahun 1998, hanya akan memberikan gambaran buruk yang boleh menjejaskan kerukunan dan kestabilan negara. UMNO tidak begitu.

“Kita boleh sahaja melalui rangkaian akar umbi menggerakkan kebangkitan, namun UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai DNA mewujudkan kekacauan apatah lagi merosakkan ketenteraman awam di negara ini. Kita bukan perusuh. Walaupun berhadapan dengan fitnah dan mehnah, kita masih waras dalam bertindak. Kita adalah parti yang membawa kemakmuran, parti yang menjamin kestabilan dan kesejahteraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Taklimat Bersama Presiden UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Turut serta Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli UMNO pelbagai peringkat yang memenuhi Dewan Merdeka serta Dewan Tun Razak 4 dan Dewan Tun Hussein Onn.

Tegas Ahmad Zahid lagi, perhimpunan berkenaan hanya dengan satu matlamat iaitu mahu mengembalikan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersendikan hukum dan bukannya negara yang ditadbir oleh pencatur undang-undang rimba.

“Kita berhimpun atas nama solidariti bagi membawa UMNO dan BN kembali memimpin negara untuk kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran. Pada masa sama, kita berazam untuk menamatkan politik dendam dan ugutan yang dibawa oleh musuh-musuh politik kita,” ujarnya.

Terdahulu sebelum memulakan ucapan, Ahmad Zahid kelihatan sebak dan mengambil masa untuk meneruskan ucapan beliau kerana terkenangkan orang yang begitu banyak  jasanya kepada parti dan negara tidak lagi berada di Dewan Merdeka.

“Tersentuh rasanya apabila melihat ke bawah, sosok yang selalu berada bersama-sama dengan kita, hilang daripada pandangan mata. Pemimpin dan sahabat sejati kita kini terkurung. Tak dapat dibayang pedih rasanya apabila mengenangkan, dek kerana dendam politik, orang yang banyak berjasa, yang menyentuh setiap jiwa dan melakarkan pelbagai pendekatan agar rakyat pimpinannya sejahtera, kini terpisah dengan keluarga dan rakyat yang merindui sentuhannya.

“Buat anakanda beliau yang sebentar tadi menyampaikan ucapannya, lihatlah, ribuan yang hadir pada hari ini menjadi bukti Datuk Seri Najib tidak akan pernah keseorangan dan tidak akan dilupakan. Keluarganya tidak bersendirian dalam memastikan keadilan dapat dicapai buat insan yang telah banyak berjasa kepada negara dan parti keramat UMNO ini.

“Selagi mana ada ruang pembelaan, kami akan terus bersama. Bagi kami Datuk Seri Najib ibarat pohon besar di tengah padang, tempat bernaung dari kepanasan, tempat berlindung dari kehujanan,” katanya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.