MPHTJ, MBMB Diiktiraf Bandar Berdaya Huni Tahap Tertinggi 2021

MELAKA, 21 Ogos – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) diiktiraf sebagai Bandar Berdaya Huni Tahap Tertinggi 2021.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata menerusi penganugerahan sempena pelancaran Indeks Daya Huni Malaysia 2022 (iDAM) yang diadakan di Putrajaya pada Khamis lepas, MPHJT menduduki tempat keempat manakala MBMB berada pada kedudukan kelapan.

“Pengiktirafan yang diterima MPHTJ dan MBMB adalah bagi Pengukuran Indeks Daya Huni Malaysia yang diukur melalui 23 indikator di bawah Agenda Malaysia Berdaya Huni dan penganugerahan itu dianjurkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kerajaan Negeri Melaka amat bangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan berkenaan atas kejayaan memperoleh status Bandar Berdaya Huni Tahap Tertinggi 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi penganugerahan itu, MPHTJ dan MBMB telah berjaya mencapai lima aspirasi utama iaitu pembangunan ekonomi makmur dan kalis masa depan serta peningkatan kualiti persekitaran, pemuliharaan alam sekitar dan jaminan keselamatan.

Menurut Sulaiman, kedua-dua PBT berkenaan juga berjaya memperkasa keharmonian komuniti dan keluarga sejahtera, pembangunan guna tanah dan sumber bumi yang mampan dan urus tadbir yang berkesan serta penyediaan infrastruktur dan kemudahan sokongan yang inklusif.

Sulaiman berkata sebelum ini, kesemua empat PBT di Melaka termasuk Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) telah berjaya memperoleh status Bandar Bahagia di Malaysia 2021 di bawah Jaringan Petunjuk Kemampanan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets) yang juga pengiktirafan di bawah PLANMalaysia dan KPKT.

Beliau berkata bagi penganugerahan Bandar Bahagia 2021, MPAG memperoleh skor yang tertinggi iaitu 98.17 peratus sekali gus menempatkan PBT berkenaan pada kedudukan ke-13 daripada 127 bandar yang dinilai diikuti MBMB pada kedudukan ke-26 (91.97 peratus).

Katanya, MPHTJ pula berada pada kedudukan ke-33 (89.40 peratus) manakala MPJ di tempat ke-48 (85.48 peratus).

“Anugerah dan pengiktirafan yang diterima kesemua PBT membuktikan Melaka adalah sebuah negeri yang benar-benar berdaya huni sama ada untuk tinggal dan bekerja, menjalankan kegiatan ekonomi dan perniagaan mahupun sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan yang utama dan menarik.

“Ia juga selaras dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) dan visi kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri lestari dan slogan rasmi negeri ‘Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia’,” katanya. – BERNAMA