Kerajaan Pandang Serius Isu Pembangunan Di P.Pinang – Reezal Merican

KEPALA BATAS, 21 Ogos – Kerajaan Persekutuan memandang serius isu pembangunan di Pulau Pinang khususnya pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah menerima peruntukan RM9.7 bilion.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata dengan peruntukan tersebut, pihak kerajaan berharap melihat pembangunan di Pulau Pinang berjalan lancar.

“Hari ini pihak kami meninjau kemajuan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bertam Putra yang menelan belanja RM27 juta dan sepatutnya siap pada April 2020 bagaimanapun mengalami kelewatan hampir dua tahun.

“Pihak kontraktor memaklumkan bahawa kelewatan projek itu disebabkan oleh pandemik COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan, kenaikan harga barang pembinaan serta kesukaran mendapatkan pekerja asing,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan berkenaan.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata sekolah itu kini siap 85.9 peratus dan beliau berharap pelan pemulihan yang akan dibentang berjalan lancar seterusnya menyelesaikan isu ‘projek sakit’ tersebut menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata apabila berlaku kelewatan dalam pembinaan institusi pendidikan seperti sekolah, ia akan memberi tekanan kepada pembangunan modal insan setempat terutama di kawasan yang sedang pesat membangun seperti Bertam.

“Kami ingin mengelak daripada projek itu ditamatkan kerana jika ia berlaku, projek itu terpaksa melalui proses tender semula yang akan mengambil masa dan mungkin termasuk peningkatan kos manakala kontraktor akan disenaraihitamkan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.