Kerajaan Keluarga Malaysia Tekad Mantapkan Pentadbiran, Pulih Ekonomi Negara

PUTRAJAYA, 21 Ogos – Memasuki setahun mengemudi Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertekad menguatkan semangat untuk memantapkan pentadbiran kerajaan dan memulihkan ekonomi negara untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

Berucap merasmikan Simposium Keluarga Malaysia: Pencapian dan Harapan di sini hari ini, beliau menegaskan masih banyak agenda yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan pimpinannya bagi membantu Keluarga Malaysia.

“Masih ramai golongan yang perlu dibantu baik golongan miskin, golongan wanita, golongan wanita, golongan orang kurang upaya dan sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos 2021.

Mengimbau kembali ketika mengambil alih tampuk pemerintahan, Ismail Sabri berkata negara pada waktu itu berada dalam suasana ketidaktentuan dan ketidakstabilan, dan ada pihak yang meramalkan bahawa bila-bila masa sahaja kerajaan Keluarga Malaysia boleh runtuh berdasarkan sejarah lompat parti waktu itu.

“Syukurlah jangkaan itu tidak berlaku dan kini usia kerajaan ini telah menjangkau satu tahun,” katanya.

Ismail Sabri berkata negara mempunyai Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu yang begitu prihatin kepada kesentosaan negara dan kebajikan rakyat.

Katanya atas nasihat Seri Paduka, kerajaan telah mengambil inisiatif melupakan segala perbezaan dan mewujudkan kebersamaan dengan memeterai kerjasama rentas parti dengan pihak pembangkang.

“Hasil pendekatan inklusif ini, kita telah mencapai kestabilan politik,” katanya dan menambah ‘waktu unik memerlukan pendekatan unik’.

Beliau berkata terdapat pelbagai inisiatif kerajaan Keluarga Malaysia rundingkan melalui sesi-sesi konsultasi, mendapat sokongan meluas semua pihak.

“Ini termasuklah Bajet 2022 yang mendapat kelulusan majoriti serta Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 dan larangan lompat parti yang diluluskan sebulat suara,” katanya.

Ismail Sabri seterusnya merakamkan penghargaannya kepada Seri Paduka dan Raja-raja Melayu yang telah memberikan nasihat dan sokongan kepada Kerajaan Keluarga Malaysia sejak setahun lepas.

“Ketaatsetiaan kerajaan Keluarga Malaysia kepada Seri Paduka tidak boleh sama sekali diragui malah kita sentiasa menjaga hubungan baik dengan pihak istana selaras dengan prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara,” katanya.

Ismail Sabri turut menzahirkan rasa terima kasih kepada semua ahli Jemaah Menteri serta semua Ahli Parlimen baik dari pihak kerajaan dan pembangkang yang menyokong pelbagai inisiatif yang dikemukakan.

“Semua ini tidak akan berlaku tanpa sokongan semua ahli Jemaah Menteri serta semua Ahli Parlimen,” katanya dan menambah, sesebuah kerajaan hanya akan menjadi kuat dan berkesan jika ia mendapat dokongan daripada semua pihak.

Katanya beliau juga tidak berhasrat mendabik dada melaung-laungkan semua kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan Keluarga Malaysia, dan akan membiarkan fakta untuk berbicara.

Ismail Sabri berkata kerajaan Keluarga Malaysia akan memperkukuhkan institusi-institusi politik yang ada sehingga ia menjadi inklusif.

“Kita merancang untuk memperkukuhkan institusi Parlimen dan Kehakiman serta membentangkan Akta Pendanaan Politik untuk politik negara yang lebih sihat,” katanya.

Mengenai program hari ini, Ismail Sabri berkata simposium itu akan memberi ruang yang luas untuk semua peserta mendapat maklumat yang tepat dan jelas mengenai pencapaian dan cabaran kerajaan Keluarga Malaysia sepanjang tempoh satu tahun.

Selaras dengan teras utama konsep Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, beliau berkata kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa mengambil kira pandangan setiap golongan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang terbuka, segala input daripada golongan cendekiawan akan kita pertimbang untuk laksanakan jika sesuai,” katanya. – BERNAMA