Kemas Perkenal Bengkel Pusat Daya Maju Untuk Manfaat Masyarakat Luar Bandar

KUALA NERANG, 21 Ogos – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mewujudkan Bengkel Pusat Daya Maju atau COME yang menyediakan pelbagai kemudahan peralatan bagi tujuan keusahawanan untuk kegunaan masyarakat luar bandar secara percuma.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata hal itu selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia bagi memastikan kumpulan sasar golongan B40 menerima faedah daripada perkhidmatan disediakan kerajaan untuk golongan itu meningkatkan pendapatan masing-masing.

“Golongan peniaga atau usahawan baharu dalam bidang jahitan contohnya yang tidak mempunyai peralatan lengkap boleh menggunakan peralatan disediakan secara percuma di Pusat Daya Maju ini.

“Dengan adanya Bengkel COME ini, mereka boleh datang menggunakan mesin jahit yang canggih seperti mesin sulam berkomputer, mesin jahit tepi dan juga mendapat bimbingan daripada Pemaju Masyarakat Kemas yang mahir dalam bidang jahitan untuk memberikan tunjuk ajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pusat itu di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata setiap negeri mempunyai satu bengkel COME yang diwujudkan di premis Bengkel Jahitan Kemas sedia ada yang dijangkakan dapat memberi manfaat kepada 3,000 usahawan baharu.

“Pembukaan 14 buah bengkel COME ini akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kemas akan membuka lebih banyak kelas kemahiran di seluruh negara bagi memenuhi keperluan Keluarga Malaysia khususnya di kawasan luar bandar.

Mahdzir berkata sejumlah 166,788 orang direkodkan telah menghadiri kelas kemahiran dikendalikan Kemas sehingga ini sejak 2019. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.