Industri Penyiaran Indonesia Boleh Dijadikan Contoh, Kata Annuar Musa

JAKARTA, 20 Ogos – Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata ekosistem industri penyiaran di Indonesia sangat menyeluruh seiring pertumbuhan pesat era digital yang boleh dijadikan contoh.

Justeru beliau menggalakkan stesen-stesen penyiaran swasta di Malaysia menjalinkan kerjasama dengan stesen-stesen penyiaran Indonesia, meskipun wujud perbezaan komposisi demografi dan pasaran yang ketara.

“Yang pentingnya (industri di Indonesia) adalah responsif kepada penyertaan pasaran dan membentuk satu ekosistem yang menyeluruh dan juga perniagaan yang saya anggapkan begitu kehadapan,” katanya.

Annuar berkata demikian setelah melawat MNC Studios milik kumpulan media terbesar dan terintegrasi di Asia Tenggara, MNC Group di Kebon Jeruk, Jakarta Barat.

MNC Studios ialah kompleks pejabat dan studio bersepadu untuk tiga stesen televisyen saluran percuma MNC Group iaitu RCTI, GTV dan MNCTV.

Studio itu terletak dikawasan seluas 101,222 meter persegi dengan keluasan bangunan 113,062 meter persegi, terdiri daripada 18 tingkat pejabat dan dua tingkat bawah tanah.

Menurutnya, MNC berjaya mengambil peluang yang sepenuhnya daripada perkembangan teknologi dan permintaan semasa, malah tidak terikat kepada kaedah yang konvensional.

“Saya sangat tertarik dengan beberapa perkembangan termasuk yang terkait dengan animasi dan juga super app approach yang sangat-sangat berasaskan pasaran,” katanya.

Annuar berkata pemilik MNC Hary Tanoesoedibjo, adalah seorang yang sangat berwawasan dan praktikal dalam memperkenalkan model perniagaan yang terbukti berjaya.

Lawatan hari ini diadakan sempena lawatan kerja selama tiga hari sejak Khamis diiringi Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Adlan Mohd Shaffieq dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perfileman Malaysia (FINAS) Prof Dr Md Nasir Ibrahim. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.