UMNO/BN Tiada Kaitan Isu Dicipta PH… Tertekan Cuba Rosakkan Imej – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – UMNO/Barisan Nasional (BN) jelas tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan isu dicipta oleh Pakatan Harapan (PH) yang bertujuan untuk merosakkan imej parti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, PH semakin tertekan untuk mencari isu yang boleh disinonimkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagaimana sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

“Bagi saya, saat di mana semakin dekat dengan pilihan raya, makin ‘desperado’ mereka untuk mencari isu yang boleh disinonimkan dengan 1MDB sewaktu PRU14. Sebab itulah mereka cuba sedaya upaya untuk mengaitkan apa jua isu dengan UMNO/BN. Walhal, jelas tidak ada isu-isu berkait dengan parti yang sememangnya dicipta untuk merosakkan imej kita.

“Dalam tempoh empat tahun ini saya kira rakyat mulai sedar bahawa UMNO/BN adalah pilihan terbaik untuk kita mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil demi kemakmuran negara,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa UMNO/BN tidak boleh mengambil mudah fitnah serta adu domba yang dibuat oleh PH sebaliknya membetulkan semula persepsi yang dilontarkan.

“Kita tak boleh ambil mudah. Setiap isu yang berbangkit itu perlu ditangani dan perlu dijawab. Sekiranya dibiarkan, media sosial akan dicorakkan oleh kepakaran mereka dalam mewarnakan persepsi dengan fitnah.

“Sebab itu dalam konteks ini kalau fitnah itu kita tidak tangani dengan baik, kita boleh kecundang. Bagi saya, apa yang PUMAS (Penerangan UMNO Malaysia) dan BNComms lakukan hari ini dalam menjawab dan menangani isu-isu ini saya kira amat baik sekali,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.