Manfaat Mesyuarat Cawangan UMNO, Maklumkan Keupayaan BN/UMNO Berbanding PH, PN

KOTA KINABALU, 17 Ogos – Pelaksanaan mesyuarat Cawangan UMNO yang bermula 15 Ogos hingga 18 September ini perlu diaplikasi sebagai ruang terbaik bagi memaklumkan keupayaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir kerajaan, kata Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi.

Ujarnya, mesyuarat peringkat Cawangan adalah perkumpulan ahli-ahli di akar umbi yang sentiasa komited dalam melaksanakan khidmat bakti bagi meyuburkan perjuangan UMNO.

“Kerana itu, ruang yang ada ini perlu kita manfaatkan dengan memaklumkan kepada akar umbi bahawa keupayaan UMNO/BN mentadbir negara adalah jauh lebih baik berbanding dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Sudah terbukti bahawa PH yang mentadbir selama 22 bulan gagal malah hanya mementingkan kroni dan saling menyalahkan pihak lain tanpa ada hala tuju bagi membawa kemajuan kepada negara sedangkan PN pula langsung semuanya tidak kena hinggakan Parlimen digantung dan negara diisytihar darurat,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, rakyat boleh melihat sendiri situasi sekarang apabila kerajaan kembali diterajui oleh UMNO/BN dengan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri (PM).

“Sekarang cukup setahun Datuk Seri Ismail Sabri menjadi PM dan kita lihat sendiri keadaan yang semakin pulih berbanding ketika pentadbiran PH dan PN.

“Kita dah lalui bagaimana kesudahan daripada kerajaab PH dan PN yang kini kembali kepada BN dengan adanya perancangan, dasar dan pelaksanaan terancang demi kehidupan rakyat.”

Dalam hal ini beliau turut menyorot berkaitan perangkaan dalam ekonomi yang menunjukkan angka positif dan lebih baik.

“Kadar pengangguran turun kepada 3.8 peratus daripada 4.3 peratus sebelumnya yang maknanya lebih ramai orang mempunyai pekerjaan sementara media melaporkan ekonomi negara berkembang 8.9 peratus bagi suku kedua tahun ini yang merupakan yang terbaik di Asia Tenggara.

“Ini adalah bukti nyata bahawa UMNO/BN mempunyai keupayaan terbaik bagi membawa negara ke landasan kestabilan yang diidamkan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.