Pembangunan Kertas Putih Kesihatan Tepat Pada Masanya – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Pembangunan Kertas Putih Kesihatan bertepatan pada masanya, bagi merealisasikan sistem kesihatan Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam mendepani cabaran tahun-tahun mendatang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata cabaran kesihatan yang diharungi sebelum ini dan apa yang bakal dijangkakan pada masa hadapan patut dijadikan sandaran untuk menambah baik dan memperkukuhkan sistem kesihatan sedia ada.

Menurutnya selepas lebih dua tahun seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19, satu perancangan komprehensif dan menyeluruh perlu dibentuk supaya kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal utuh pada masa hadapan.

“Seperti mana semua maklum, sistem kesihatan negara kita, sama ada kerajaan mahupun swasta, telah berfungsi dengan cemerlang sehingga sebahagian besar Keluarga Malaysia menikmati tahap kesihatan yang baik terutama ketika kes pandemik COVID-19 memuncak.

“Namun begitu, kita tidak seharusnya mudah berasa selesa kerana pandemik COVID-19 bukanlah yang terakhir, kerana terdapat pelbagai cabaran baharu bakal muncul, seterusnya akan menguji tahap keberkesanan dan ketahanan asas sistem kesihatan sedia ada,” katanya semasa berucap merasmikan Sidang Kemuncak Dasar Kesihatan 2022: Masa Hadapan Perkhidmatan Kesihatan Melalui Pembangunan Kertas Putih Kesihatan di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata pandemik COVID-19 memperlihatkan cabaran serius kesihatan pada tahun-tahun mendatang, termasuk isu penuaan penduduk yang memberi cabaran besar kepada sistem kesihatan dan sosial negara.

Katanya Malaysia akan mencapai status negara tua menjelang 2030 apabila meningkatnya rakyat berumur 60 tahun ke atas iaitu lebih 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar prevalen penyakit, dan permintaan penjagaan kesihatan golongan itu dianggarkan dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang dewasa yang lebih muda.

Selain itu, kadar penyakit tidak berjangkit juga meningkat apabila seorang daripada lima orang dewasa di negara ini menghidap penyakit kencing manis dan seorang daripada tiga orang dewasa mengalami penyakit darah tinggi.

“Berdasarkan statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, angka-angka ini sangat membimbangkan kerana kebanyakannya tidak sedar mereka menghidapinya dan seterusnya mengundang risiko kematian. Contohnya, 87 peratus pesakit COVID-19 yang maut merupakan mereka yang menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi.

“Selain itu, masalah kesihatan mental juga semakin meningkat apabila 2.3 peratus golongan dewasa mengalami kemurungan dan 7.9 peratus kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun berdepan masalah kesihatan mental, angka ini dijangka meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, dalam usaha mencorak semula sistem kesihatan negara, Ismail Sabri menzahirkan harapan agar sistem kesihatan negara menyokong dan membantu Keluarga Malaysia kekal sihat serta tidak lagi menumpukan kepada rawatan dan intervensi setelah berpenyakit.

Beliau berharap sistem kesihatan negara mampu memenuhi keperluan rawatan Keluarga Malaysia secara mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi semua cabaran, termasuk dalam situasi pandemik global, dan menjadi kebanggaan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus memainkan peranannya untuk memastikan sektor kesihatan negara terus berdaya tahan dan fleksibel supaya kekal serta kalis cabaran pada masa hadapan.

“Pada masa sama, keberkesanan sistem kesihatan negara tidak seharusnya digalas oleh pihak Kementerian Kesihatan semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab semua pihak seperti pemegang taruh, sektor awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.

“Saya percaya bahawa anda juga berkongsi harapan yang sama, dan transformasi sistem kesihatan negara perlu melibatkan pelbagai aspek termasuk menerapkan pendekatan ‘whole of government’ dan ‘whole of society’, iaitu kesihatan adalah tanggungjawab bersama.

“Saya juga percaya, jika kita bersama-sama berganding bahu dan berusaha ke arah kebaikan, kita mampu ‘Mencorak Semula Perkhidmatan Kesihatan Untuk Keluarga Malaysia’,” katanya.

Ismail Sabri dalam ucapannya turut menyeru Keluarga Malaysia agar membudayakan gaya hidup sihat seperti mengaktifkan diri, memupuk minda sihat, makan secara sihat dan tidak merokok serta melakukan saringan kesihatan secara berkala.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara bebas daripada amalan merokok melalui strategi Generasi Penamat dan berharap rang undang-undang berkenaan dapat dibentangkan pada mesyuarat Parlimen akan datang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.