Kerajaan Fokus Pulihkan Projek LCS – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Kerajaan memberi fokus terhadap pemulihan projek kapal tempur pesisir (LCS) bagi memastikan projek itu kembali ke landasannya seperti yang telah ditetapkan Jemaah Menteri.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam hantaran menerusi Facebook beliau berkata rundingan dengan pihak vendor, pengilang peralatan asal (OEM) dan perbankan sedang dimobilisasikan.

Hishammuddin berkata demikian berhubung perolehan LCS yang menjadi kontroversi susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada satu kapal telah disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntukkan lima daripada enam kapal tersebut seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.

Dalam hantaran tersebut, beliau turut memaklumkan pihaknya telah membawa para petugas media ke Boustead Naval Shipyard di Lumut, Perak hari ini untuk melihat keadaan luaran dan dalaman LCS yang sedang dalam pembinaan.

Katanya petugas media turut dibawa ke gudang penyimpanan peralatan kapal-kapal tersebut dan diberi taklimat tentang reka bentuknya.

“Saya tidak jemu untuk menegaskan berkali-kali iaitu saya dan Kementerian Pertahanan tiada apa hendak disembunyikan. Dalam masa sama, pihak yang salah mesti dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya. – BERNAMA