Johor Sumbang RM1,000 Kepada Mangsa Ribut Flat Ros Merah

JOHOR BAHRU, 13 Ogos – Kerajaan Johor akan memberikan sumbangan kepada 22 keluarga di Flat Ros Merah, Taman Johor Jaya, di sini yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka terjejas akibat ribut semalam.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sumbangan kepada setiap keluarga yang terlibat itu diharapkan dapat meringankan beban mereka.

Beliau yang turun padang bagi meninjau keadaan flat dan melawat mangsa di PPS tersebut hari ini, turut menzahirkan kesedihan di atas kejadian yang menimpa kesemua mangsa.

“Sedih melihat keadaan flat mangsa ribut di Flat Ros Merah, Taman Johor Jaya hari ini. Dalam meringankan beban mereka, sumbangan sebanyak RM1,000 diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada setiap 22 keluarga yang terlibat,” kata Onn Hafiz menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Menurut beliau satu jawatankuasa diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor, telah dibentuk bagi menyelaraskan penempatan sementara dan proses pembaikian rumah mereka yang terkesan.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan berusaha agar kerja membaik pulih dapat disiapkan, bagi memastikan kesemua mangsa boleh pulang ke kediaman masing-masing secepat mungkin.

Semalam, dilaporkan kejadian ribut berlaku kira-kira pukul 3 petang, telah menyebabkan beberapa kediaman di flat berkenaan mengalami kerosakan, sebelum PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya dibuka pada 4.30 petang hari sama.

Setakat pukul 8 malam ini, kesemua 84 individu daripada 22 keluarga itu masih berada di PPS berkenaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.