Sultan Selangor Titah Kerajaan Negeri Sedia Pelan Hasil Tani Lebih Komprehensif
SHAH ALAM, 10 Ogos – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar kerajaan negeri menyediakan pelan jangka panjang lebih komprehensif mencakupi aspek sekuriti bekalan makanan khususnya untuk rakyat negeri itu.
Baginda menasihatkan agar keutamaan diberikan kepada keseimbangan pengeluaran produk makanan industri dan pengeluaran hasil tani serta produk oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
“Beta tidak mahu berlakunya sebarang gangguan terhadap sumber bekalan makanan untuk rakyat di negeri Selangor sedangkan negeri ini antara pengeluar signifikan pelbagai produk pertanian dan hasil ternakan.
“Paling penting, produk makanan yang dihasilkan haruslah berkualiti tinggi dan dipasarkan pada harga berpatutan demi kelangsungan hidup rakyat,” titah baginda menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Susulan itu, Sultan Selangor menyeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) agar melaksanakan kajian ke arah penghasilan produk hasil tani dan ternakan yang lebih bermutu dan memastikan bekalannya sentiasa mencukupi.
Baginda turut tertarik dengan pelbagai hasil pertanian menggunakan teknologi terkini dan turut diusahakan secara kecil-kecilan oleh rakyat, namun memiliki potensi pemasaran yang tinggi serta menggesa mereka menggiatkan aktiviti bercucuk tanam malah mengusahakan ternakan supaya dapat menikmati hasilnya untuk manfaat sendiri dan keluarga.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang semalam.
Turut berkenan berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. – BERNAMA