Cuti Hujung Minggu: Onn Hafiz Bentangkan Hasil Dapatan Dipersembahkan Kepada Sultan Johor Hari Ini

JOHOR BAHRU, 10 Ogos – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini membentangkan hasil dapatan kerajaan negeri mengenai penyelarasan cuti hari minggu untuk pertimbangan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Onn Hafiz berkata hasil dapatan tersebut dibentangkan dan akan dipertimbangkan baginda untuk rakyat Johor.

“Syukur Alhamdulillah. Hari ini patik telah membentangkan hasil dapatan kerajaan negeri mengenai penyelarasan cuti hari minggu untuk pertimbangan Tuanku Sultan Johor.

“Insya-Allah Tuanku akan membuat pertimbangan yang terbaik untuk rakyat Bangsa Johor. Menjunjung Kasih Tuanku,” kata beliau dalam hantaran tersebut.

Onn Hafiz menerusi satu kenyataan pada 4 Ogos berkata hasil dapatan dan perbincangan mesyuarat mengenai penyelarasan semula cuti hujung minggu negeri Johor akan dipersembahkan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk mendapat pandangan dan perkenan baginda.

Menurutnya, beliau telah mempengerusikan mesyuarat ketiga kerajaan negeri yang membincangkan mengenai penyelarasan semula cuti hujung minggu bagi negeri Johor yang turut dihadiri wakil sektor kerajaan, swasta, pendidikan, pemain industri termasuk perbankan dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Keputusan yang bakal dibuat akan membabitkan 576,691 pelajar dan 1.764 juta tenaga kerja di Johor yang majoritinya (93 peratus) adalah daripada sektor swasta.

Pada 14 Jun lepas, Onn Hafiz dilapor berkata kerajaan negeri akan mengkaji semula penetapan hari cuti minggu yang dilaksanakan pada setiap Jumaat dan Sabtu sejak 2014. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.