Rang Undang-Undang Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 2021 Mampu Jimat Kos, Hukuman Lebih Adil

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Rang Undang-Undang Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 dilihat mampu menjimatkan kos pengurusan penjara selain mewujudkan hukuman lebih adil kepada pesalah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata rang undang-undang itu dapat mengurangkan implikasi kewangan secara total menerusi perintah wajib hadir berbanding hukuman pemenjaraan di dalam tembok penjara.
Ismail Mohamed Said
“Jika 6,800 pesalah kita tidak tempatkan di penjara selama tiga bulan, kita sudah jimat RM30.6 juta. Bayangkan (hukuman) penjara itu sehingga tiga tahun, tetapi kita jadikan perintah hadir wajib dari tiga bulan kita tingkatkan kepada 12 bulan, berapa banyak kos penjimatan dapat dilakukan pihak kerajaan.

“Bagi pihak pesalah pula, kaedah itu juga tidak pisahkan pesalah dengan ahli keluarga masing-masing, mereka juga boleh teruskan (membantu) ekonomi keluarga tanpa menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di Dewan Negara semalam.

Ismail berkata rang undang-undang itu juga akan mengambil kira maklum balas mangsa serta libat urus Jabatan Peguam Negara bagi memahami keadaan tertentu yang munasabah berdasarkan tingkah laku pesalah yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tempoh tiga tahun.

Beliau berkata pindaan itu tidak terpakai kepada pesalah yang sudah mula menjalani hukuman penjara sebelum rang undang-undang tersebut diluluskan. Rang undang-undang itu kemudian diluluskan oleh Dewan Negara dengan lebih suara bersetuju.

Pada 19 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu bagi memperkasa inisiatif pemenjaraan di luar tembok penjara melalui program pemulihan dalam komuniti.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju berkata pindaan rang undang-undang itu mengambil kira kepentingan Orang Asli dengan memasukkan seksyen baharu 60 (a).

Beliau berkata seksyen itu berkaitan mengurangkan atau pengecualian pembayaran ses (cukai khas) pembangunan hutan bagi hasil yang diambil oleh Orang Asli dari hutan simpan kekal, tanah kerajaan, tanah rezab dan tanah lombong untuk kegunaan seperti disenaraikan dalam akta antaranya pembinaan pondok sementara serta bagi kegunaan domestik.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan dengan suara majoriti. Turut diluluskan Rang Undang-Undang Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran) 2021 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.