Cradle, Microsoft Malaysia Jalin Kerjasama Memperkasa Syarikat Permulaan Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Cradle Fund Sdn Bhd dan Microsoft Malaysia menjalin kerjasama untuk memperkasakan syarikat permulaan di Malaysia bagi membangunkan hasil inovasi di peringkat global.

Kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Cradle iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Microsoft itu akan menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan memberi panduan dari segi teknikal kepada syarikat permulaan.

MoU itu juga akan menyediakan capaian kepada Microsoft Mentor Network berserta akses percuma kepada GitHub Enterprise dan peningkatan produktiviti dengan Microsoft 365 serta kredit awan Azure bernilai sehingga US$150,000 untuk membangunkan produk mereka.

Menteri MOSTI Datuk Seri Dr Adham Baba yang turut menyaksikan majlis pemeteraian MoU itu berkata kolaborasi ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan pembangunan yang lebih giat kepada syarikat-syarikat di Malaysia.

“Kerjasama antara Cradle dan Microsoft bukan sekadar menyediakan akses kepada teknologi digital, tetapi juga bagi memastikan daya tahan ekonomi, kemahiran dan pengetahuan digital dapat dikuasai serta menyediakan persekitaran digital yang dipercayai dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Perjanjian Persefahaman di antara Cradle dan Microsoft Malaysia di sini hari ini.

Dr Adham berkata MOSTI komited untuk menyediakan sokongan kepada lebih 5,000 syarikat permulaan dengan sasaran lima daripadanya berstatus ‘unicorn’ menjelang 2025 dan pada masa yang sama meningkatkan bilangan ‘coders’ kepada 10,000 orang menjelang 2030.

Katanya MoU di antara Cradle dan Microsoft ini antaranya melibatkan penjenamaan fizikal dan digital daripada kedua-dua pihak, perkongsian data dalam membangunkan program yang bersesuaian untuk syarikat permulaan dan akses kepada alatan atau perisian yang bersesuaian bagi pembangunan teknologi sesebuah syarikat permulaan.

“Usahawan syarikat permulaan juga perlu mengambil peluang dalam memanfaatkan kepakaran dan ilmu yang ada pada syarikat bertaraf antarabangsa seperti Microsoft untuk meneroka pasaran global,” katanya.

Beliau berkata ini selaras dengan hasrat kerajaan dalam memperkasakan ekosistem teknologi di Malaysia, menjadi peneraju ekosistem syarikat permulaan menjelang 2030 dan seterusnya mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K. Raman pula berkata syarikat akan mengetengahkan platform Microsoft untuk Hab Pengasas Start-up di Malaysia sebagai sebahagian daripada jalinan kolaborasi dengan Cradle dan MOSTI. – BERNAMA