Sabah Berpotensi Besar Dalam Kerjasama Rentas Sempadan BIMP-EAGA – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 3 Ogos – Sabah mempunyai banyak potensi dalam kerjasama rentas sempadan melibatkan sektor ekonomi yang diperuntukkan oleh Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata sektor keutamaan yang diperuntukkan oleh BIMP-EAGA sesuai dengan inisiatif Sabah Maju Jaya, pelan pembangunan lima tahun strategik negeri itu.

Bung Moktar mengetengahkan sektor seperti pengangkutan; tenaga dan sambung kuasa; perdagangan dan pelaburan; maklumat, komunikasi dan teknologi (ICT); agroindustri dan perikanan; pelancongan; persekitaran; sosial-budaya dan pendidikan sebagai sektor keutamaan.

“Bidang kerjasama harus menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi termasuk modal insan, kesejahteraan rakyat dan infrastruktur hijau.

“Ini adalah bukti bahawa kami berada di landasan yang betul melalui agenda pembangunan kami dan inisiatif lain yang tepat pada masanya,” katanya ketika merasmikan Pameran dan Persidangan BIMP-EAGA 2022 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Jasnih Daya.

Acara dua hari bertemakan “Road to R.I.S.E” (Berdaya tahan, Inklusif, Mampan dan Ekonomi Berdaya Saing) itu dihoskan oleh Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dan Sabah Ports Sdn Bhd.

Objektif acara itu adalah untuk mempromosikan serta memudahkan pembangunan perdagangan dan ekonomi di seluruh wilayah BIMP-EAGA melalui pengangkutan dan logistik.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan dijangka menghasilkan limpahan ekonomi yang akan memanfaatkan Sabah melalui sempadan dan Malaysia secara keseluruhan.

“Ini akan menambah baik hubungan sedia ada antara kedua-dua negara daripada segi ekonomi, sosial dan politik dalam masa terdekat. Kami mengharapkan lebih banyak kerjasama sepanjang tahun dengan Brunei dan Filipina,” katanya.

Bung Moktar juga berkata Sabah yakin BIMP-EAGA akan mempercepatkan pembangunan ekonomi; meningkatkan daya saing eksport dan meningkatkan daya tarikan rantau ini kepada pelabur tempatan dan asing pada tahun-tahun akan datang.

Melalui pembangunan BIMP-EAGA ke tahun 2025 berpandukan teras strategik jangka panjang untuk mempertingkatkan ketersambungan di dalam dan di luar kawasan pertumbuhannya, ia akan mewujudkan subrantau itu sebagai bakul makanan di ASEAN dan seluruh Asia, katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Bhd, Datuk Ng Kiat Min berkata di bawah rangka tindakan BIMP-EAGA Visi 2025, pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapanggar (SBCP) Sabah disenaraikan sebagai projek keutamaan yang dirancang untuk menambah baik kesalinghubungan yang dipertingkatkan melalui infrastruktur pelabuhan yang dinaik taraf. .

Ng yang juga pengarah urusan Sabah Ports Sdn Bhd berkata lokasi strategik SBCP di sepanjang laluan perkapalan utama perdagangan laut Asia Timur serta Sabah yang berada di tengah-tengah wilayah BIMP-EAGA telah menjadikan SBCP sebagai pintu masuk pilihan.

“Sabah adalah negeri kedua terbesar di Malaysia dan membentuk sebahagian daripada Borneo. Dilalui oleh kapal-kapal yang melalui laluan perkapalan utama dan lain-lain dari Asia, SBCP berpotensi menjadi lokasi berpusat untuk kargo dalam perjalanan ke BIMP-EAGA yang lebih besar, Timur Jauh, Eropah dan Timur Tengah.

“Kami berhasrat untuk memanfaatkan kekuatan ini dengan mewujudkan hab penyatuan untuk menjana lebih banyak trafik sekali gus meningkatkan akses kepada pasaran antarabangsa,” katanya.

Dengan menetapkan SBCP sebagai pelabuhan hab, Ng berkata ia akan memperkukuh rangkaian yang lebih sistematik untuk pelabuhan yang lebih kecil untuk berhubung dengan pasaran yang lebih besar, sekali gus memenuhi matlamat EAGA yang kritikal untuk merapatkan jurang pembangunan yang kini wujud di kawasan kurang membangun.

“Dengan mengoptimumkan dan mensinergikan pelabuhan dan rangkaian pengangkutan kami, ia berpotensi membawa kepada pengurangan kos logistik melalui peningkatan prestasi logistik dan rantaian bekalan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.