Kejayaan Skuad Badminton Jadi Inspirasi Kepada Kontinjen Malaysia – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kejayaan skuad badminton menghadiahkan pingat emas menerusi acara berpasukan pada Sukan Komanwel Birmingham diharap menjadi inspirasi kepada kontinjen Malaysia untuk terus memburu kegemilangan di temasya itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kejayaan itu dapat meletakkan negara di landasan tepat untuk memburu sasaran enam pingat emas di Birmingham.

“Kontinjen Malaysia terus mempamerkan aksi cemerlang di temasya Sukan Komenwel 2022 dengan meraih pingat emas ketiga.

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada skuad badminton yang berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya menerusi catatan di Facebook rasmi beliau.

Pasukan badminton campuran negara berjaya menebus semula kekalahan 1-3 kepada India pada edisi Gold Coast 2018, selepas menumbangkan juara bertahan itu 3-1, pada perlawanan akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan 5 Pusat Pameran Nasional.

Kontinjen negara setakat ini meraih keseluruhan tiga pingat emas, dua perak dan tiga gangsa. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.