Tengku Zafrul Bendahari Baharu BN Selangor

SHAH ALAM, 31 Julai – Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diumumkan sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor yang baharu menggantikan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jamal pula dilantik sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor.

Pengumuman itu dibuat oleh Tan Sri Noh Omar ketika berucap pada Majlis Penutup dan Makan Malam Konvensyen BN Selangor di sini malam ini di hadapan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Noh, yang juga Pengerusi BN Selangor, berkata pelantikan Tengku Zafrul adalah antara usaha untuk menawan semula negeri itu.

“Dengan sedikit rombakan, sekurang-kurangnya ia akan memberi semangat baharu untuk kita terus berjuang untuk pastikan BN Selangor bangkit.

“Insya-Allah, kita akan teruskan perjuangan untuk pastikan BN berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.