Agong, Permaisuri Zahir Ucapan Selamat Hari Pahlawan Kepada ATM, PDRM

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini memaklumkan Seri Paduka berdua turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para perwira ATM dan PDRM atas jasa, khidmat dan bakti yang dicurahkan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan tanah air tercinta.

“Selaku Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam menjaga keamanan negara,” menurut hantaran itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga barisan pahlawan dan perwira yang telah terkorban semasa bertugas.

“Sesungguhnya jerit perih mereka, para pejuang tanah air seketika dahulu dan masa kini adalah demi negara kita yang berdaulat.

“Seri Paduka berdua mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin. Berjuang demi negara,” menurut hantaran tersebut.

Tarikh 31 Julai setiap tahun diisytihar sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya darurat menentang komunis pada 1960. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.